PETALING JAYA: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membuka kaunter bergerak EZPay sempena musim pembayaran cukai taksiran penggal pertama sepanjang Februari hadapan.
MBPJ menerusi satu kenyataan berkata, inisiatif itu merupakan usaha pihaknya untuk mengurangkan kesesakan di kaunter ibu pejabat terutama pada waktu puncak.
Katanya, ia memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk membuat pembayaran di kaunter berhampiran tanpa perlu hadir ke ibu pejabat.
“Kaunter bergerak EZPay akan dibuka di beberapa lokasi seperti SS24 Taman Megah (berhampiran pasar), PJS8 Desa Mentari (berhampiran McDonald dan SD 12/1 (berhampiran stesyen minyak Petron).
“Waktu operasi bermula dari pukul 10 pagi hingga 3 petang. Setiap lokasi dibuka pada setiap hujung minggu kecuali SD 12/1 dibuka pada Rabu dan Khamis,” katanya.
Dalam pada itu, MBPJ turut mengingatkan semua pemilik harta di Petaling Jaya untuk menjelaskan cukai taksiran pada atau sebelum 29 Februari hadapan bagi mengelakkan sebarang caj lewat bayaran dikenakan.
“Untuk semakan atau mendapatkan salinan bil, orang ramai boleh melayari laman sesawang https://ecukai.mbpj.gov.my/mbpjesalinanbil dan membuat pembayaran di kaunter atau secara atas talian melalui ePay@MBPJ mahupun perbankan internet yang disediakan,” jelas kenyataan itu.
Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Perbendaharaan MBPJ di talian 03 7956 3544 atau kunjungi laman sesawang www.mbpj.gov.my atau Facebook @petalingjayacitycouncil serta Twitter dan Instagram @pjcitycouncil. – UTUSAN