KUALA TERENGGANU: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menafikan dakwaan pihaknya memberi kelulusan kepada warga asing menyewa premis perniagaan di bawah seliaannya selama ini.
Datuk Bandar MBKT, Rosli Latif berkata, berdasarkan data yang ada setakat ini menunjukkan lesen untuk lebih 1,000 premis perniagaan seliaan MBKT diberi kepada penduduk tempatan.
Menurutnya, penguatkuasa MBKT juga sentiasa memantau aktiviti perniagaan yang dijalankan agar mereka sentiasa mematuhi syarat lesen yang telah diluluskan.
“Bagaimanapun, kita tidak nafikan ada antara pemilik lesen ini telah berkahwin dengan warga asing seperti warga Bangladesh dan Rohingya.
“Ada juga situasi yang berlaku ialah isteri (pemilik lesen) duduk di rumah manakala suami mereka (warga asing) yang menguruskan operasi di premis perniagaan tersebut,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kehadiran warga asing yang menjalankan perniagaan di sekitar pusat bandar Kuala Terengganu ketika ini.
Tambahnya, ada antara warga asing itu yang menggajikan pekerja asing lain di premis perniagaan tersebut dan kesemua mereka mempunyai dokumen yang sah mengikut peraturan.
“Bagaimanapun, MBKT sentiasa memantau perkembangan semasa dan aktiviti perniagaan yang dijalankan agar tidak menyalahi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.
“Sekiranya ada, tindakan akan diambil termasuk membatalkan lesen perniagaan yang telah diberi sebelum itu sebagai iktibar kepada orang lain,” katanya. – UTUSAN