PETALING JAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mendakwa Kerajaan Negeri Perlis tidak hadir dalam mesyuarat di Putrajaya pada 14 November tahun lalu berhubung saluran peruntukan pelancongan untuk negeri itu.
Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, ketika itu, exco-exco pembangunan pelancongan negeri-negeri lain hadir dalam mesyuarat berkenaan setelah dijemput, namun Perlis hanya menghantar pegawai MOTAC sebagai wakil.
Katanya, pada tahun lalu, sebanyak RM3.5 juta diperuntuk dan disalurkan bagi tujuan promosi pelancongan di Perlis melalui pelbagai acara dan program.
“Saya juga sudah berkali-kali menyatakan MOTAC akan bekerjasama rapat dengan setiap kerajaan negeri untuk merancakkan ekonomi pelancongan di negeri-negeri serta menambah baik pelbagai daya tarikan di negeri masing-masing.
“Kami juga mengalu-alukan semua pihak memberi pendapat membina termasuk mengemukakan rancangan jangka sederhana dan panjang yang akan membantu dalam menyelaras pembangunan pelancongan, seni dan budaya di peringkat nasional,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia berhubung kekecewaan Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli yang mendakwa tiada sebarang maklum balas diterima berhubung peruntukan daripada MOTAC untuk tujuan naik taraf lokasi pelancongan khususnya sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.
Mohd. Shukri berkata, King Sing juga tidak memberi sebarang jawapan berhubung permohonan kerajaan negeri untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan perkara tersebut sebelum ini.
Mengikut data, lebih 3.2 juta kemasukan pelancong ke negeri ini direkodkan dari Januari sehingga Oktober 2023.
King Sing meminta setiap negeri memberi kerjasama sepenuhnya dan menjalin hubungan erat bersama Motac.
Beliau turut mengingatkan Mohd. Shukri bahawa semua pembiayaan yang diluluskan oleh kementerian perlu dibincang secara terperinci.
“Wang tidak datang bergolek dan peruntukan ini sebenarnya datang daripada pembayar-pembayar cukai negara.
“Jika Menteri Besar Perlis serius dalam memajukan pelancongan, beliau boleh berkomunikasi dan berunding dengan kami melalui pelbagai kaedah bukannya pendekatan antagonis,” katanya. – UTUSAN