KUALA SELANGOR: Adalah menjadi idaman bagi pengurusan masjid untuk melihat rumah Allah itu sentiasa dipenuhi dengan jemaah setiap kali solat fardu dan setiap program yang diadakan.
Untuk itu, Masjid An-Nur (MAN), Saujana Utama, Sungai Buloh dekat sini meneruskan inisiatif menganjurkan sarapan pagi selepas kuliah Subuh yang disampaikan oleh Mohd. Yazid Abd. Rahaman pagi tadi.
Penganjurannya juga bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang menggalakkan memberi makan kepada orang lain.
Ia sebagaimana sabda baginda SAW yang bermaksud: Seorang lelaki pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Perbuatan apa yang terbaik di dalam Islam?” Rasulullah SAW menjawab, “Kamu memberi makan kepada orang lain.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Program yang diadakan sebulan sekali sejak lebih dua tahun lalu, ternyata ditunggu-tunggu oleh para jemaah kerana keunikan makanannya yang disediakan secara ‘live’ oleh kru Dapur Subuh MAN diketuai oleh Cef Azhar Abdullah Sani.
Menu pagi tadi yang disajikan kepada lebih 300 jemaah adalah nasi lemak bunga telang, ayam goreng berempah, cucur bilis, lempeng pisang, buah melaka dan telur separuh masak.
Nazir MAN, Hamzah Md. Amin berkata, program sarapan yang menggunakan tenaga sukarela ahli kariah itu dibuat mengikut tema dan bertukar setiap bulan.
Katanya, bulan lepas temanya adalah makanan Barat dan sebelum itu makanan Cina Muslim termasuk dim sum dan kuih pau.
“Alhamdulillah, bilangan jemaah yang sentiasa bertambah setiap kali diadakan program ini memberi semangat kepada pihak MAN untuk meneruskannya pada masa hadapan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Datuk Dr. Abdul Halim Tamuri mengakui kelainan yang dilakukan oleh MAN dalam usaha menambat hati para jemaah solat berjemaah wajar dicontohi.
“Banyak masjid yang buat sarapan pagi tetapi MAN unik. Sebabnya, mereka membuatnya secara live. Mereka bergotong-royong masak nasi lemak, goreng ayam berempah dan menyediakan juadah lain seperti cucur udang, lempeng pisang dan buah melaka.
“Ini yang istimewa di sini. Ini bukan kali pertama sebab saya dah menyaksikannya beberapa kali sebelum ini. Syabas kepada ahli jawatankuasa dan mereka yang terlibat,” jelasnya. – UTUSAN