Masalah air di Papar selesai dalam tempoh dua tahun

Masalah air di Papar selesai dalam tempoh dua tahun

ARMIZAN MOHD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAPAR: Masalah gangguan bekalan air yang berlarutan sejak lima tahun lalu di daerah ini dijangka akan selesai dalam tempoh kurang daripada dua tahun.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, gangguan bekalan air akan selesai apabila pelaksanaan projek Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon Fasa Dua siap sepenuhnya dalam masa tiga tahun.

Namun, beliau telah berbincang dengan kontraktor untuk menyiapkan loji rawatan terlebih dahulu pada fasa pertama manakala, komponen lain seperti sistem perpaipan disiapkan kemudian.

“Kontraktor menyatakan memang boleh menyiapkan sebahagian daripada projek itu mengikut sijil perakuan siap kerja (CPC) sekiranya Jabatan Air Ngeri Sabah dan Kementerian Kerja Raya (KKR) bersetuju.

“Jadi, ini yang kita akan usahakan agar dibenarkan untuk menyiapkan loji rawatan terlebih dahulu agar kapasiti air yang dibekalkan dapat ditingkatkan daripada 40 juta liter sehari (MLD) kepada 80 MLD.

“Kontraktor memaklumkan bahawa mereka boleh mengusahakan untuk siapkan loji dalam tempoh dua tahun tapi, kita minta percepatkan dalam masa setahun enam bulan.

“Air terawat yang dibekalkan itu nanti akan disalurkan kepada sistem perpaipan sedia ada bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air,” katanya semasa melawat LRA Kogopon fasa dua, di sini hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata, projek pembinaan LRA Kogopon fasa dua yang dibina dengan kos berjumlah RM365 juta itu dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2026.

Menurut Armizan, projek ini amat penting untuk menyelesaikan isu gangguan bekalan air di sebahagian kawasan dalam Parlimen Papar, Selatan Putatan dan Ulu Kimanis termasuk kawasan Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT).

Mengenai cabaran menyiapkan projek itu, Armizan berkata, setakat ini tiada halangan yang besar cuma ada sedikit isu mengenai pengambilan tanah. Jadi, beliau mahu ada unit khas untuk membantu mana-mana isu berkaitan tanah yang belum selesai.

Jelas beliau, projek LRA Kogopon fasa dua sebenarnya dijadualkan bermula pada 2019, melalui Rolling Plan 4 (RP4), Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11). Malangnya, apabila berlaku perubahan kerajaan negeri dan Persekutuan, projek ini tidak diteruskan.

Atas sebab itu, sejak diamanahkan menjadi Ahli Parlimen Papar, sudah empat kali beliau turun meninjau perkembangan projek LRA Kogopon tersebut.

Katanya, tinjauan kemajuan projek akan diteruskan pada setiap tiga bulan bagi memastikan ia dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya