SUNGAI PETANI: Sebuah vesel jenis kapal pengangkut yang berlabuh tanpa kebenaran ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah di kedudukan 15 batu nautika Barat Kuala Muda, di sini semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, kapal yang berdaftar atas nama MV Stellar Enguri dari Liberia itu ditahan pada pukul 5.45 petang oleh bot ronda Maritim Malaysia setelah dikesan melalui Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) Langkawi.
“Pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491 B (1) (I) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana berlabuh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut.
“Jika disabitkan kesalahan, kapal terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Noor Azreyanti berkata, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan sentiasa komited meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.
“Kita mengalu-alukan orang ramai untuk melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui saluran talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579,” katanya. -UTUSAN