MARDI edar benih komersial tanaman bawang - Utusan Malaysia

MARDI edar benih komersial tanaman bawang

WAN Rozita Wan Engah menunjukkan bawang merah BAW-1 hasil penyelidikan MARDI. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengedarkan benih asas bawang merah secara skala besar kepada petani dilantik untuk keperluan penanaman bawang segar tempatan.

Pegawai Penyelidik Kanan MARDI, Wan Rozita Wan Engah berkata, usahawan dipilih akan diberi bimbingan teknikal melalui kursus dan latihan serta dibekalkan dengan benih bawang secara percuma untuk musim pertama pengeluaran.

Jelasnya, petani yang diberi benih tersebut akan terus dibantu melalui pemantauan secara berkala untuk melihat perkembangan penanaman bawang yang memerlukan tempoh masa 65 sehingga 75 hari semusim.

“Pada lawatan pertama, kami akan memantau kaedah penanaman dan siraman yang betul sebelum datang untuk kali kedua dalam beberapa minggu lagi bagi melihat prestasi pokok serta bagaimana ia dapat mengatasi serangan serangga dan penyakit.

“Selepas itu, kami akan membuat pemantauan akhir penanaman dan melihat proses penuaian untuk memastikan bawang dihasilkan mempunyai kualiti tinggi dan setara dengan bawang yang berada di pasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Wan Rozita membuat pemantauan terhadap penanam bawang di Kuala Bikam, di Bidor baru-baru ini.

Sebanyak 1.5 metrik tan bawang merah jenis BAW-1 berjaya diserah kepada petani iaitu Tan Cheng Choy bagi mengusahakannya di sebidang tanah lombong berkeluasan satu hektar.

Sebagai fasa permulaan pelaksanaan pengkomersialan pengeluaran bawang merah, kata Wan Rozita, pada tahun ini, MARDI mensasarkan pengagihan benih bawang kepada lima petani di seluruh negara bagi menghasilkan pengeluaran bawang sebanyak 30 metrik tan semusim bagi keluasan kawasan penanaman seluas lima hektar.

“Aktiviti pengkomersialan akan ditingkatkan sebanyak 10 hektar setiap tahun berikutnya dengan pemantauan dan khidmat nasihat oleh pakar MARDI secara berterusan sehingga usahawan atau petani berjaya melaksanakan sepenuhnya.

Sementara itu, Cheng Choy menyifatkan bantuan benih bawang itu banyak memberi faedah kepada petani kecil selain meningkatkan pendapatan bulanan mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Saya amat gembira diberi peluang oleh pihak MARDI dan Jabatan Pertanian untuk menjadi perintis kepada penanaman bawang secara besar-besaran. Saya percaya dengan tunjuk ajar dan bimbingan mereka usaha saya akan berjaya.

“Saya harap tanaman bawang ini dapat membuahkan hasil yang lumayan kerana bawang mempunyai permintaan tinggi di pasaran berbanding tanaman-tanaman lain yang saya usahakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya