JASIN: Kerajaan disarankan memansuhkan skim pencen wakil rakyat terlebih dahulu sebelum melaksanakannya terhadap penjawat awam lantikan baharu.
Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, perkara itu akan dibawa ke dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO esok bagi menyuarakan pandangan Pemuda.
Katanya, Pemuda UMNO bersetuju dengan keputusan tersebut tetapi mesti mempunyai pelan sokongan untuk membantu rakyat selepas pencen dan dimulakan dengan wakil rakyat.
“Mana-mana keputusan yang tidak memikirkan tentang rakyat sudah tentu kita akan bangkang sama sekali. Saya faham kedudukan kewangan kerajaan ketika ini tetapi jika hendak mulakan (pemansuhan pencen) kepada penjawat awam, dia (kerajaan) kena mulakan dengan wakil rakyat termasuk lantikan politik.
“Janganlah kita yang buat polisi tapi bukan untuk kita (wakil rakyat) sebaliknya untuk rakyat. Apa bezanya wakil rakyat dengan penjawat awam?
“Bayangkan penjawat awam yang berkhidmat 40 tahun mungkin akan menerima pencen RM1,000 atau RM2,000 sebulan. Wakil rakyat yang berkhidmat satu penggal pun dah dapat pencen, saya rasa ini tidak adil,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas sesi lelongan haiwan ternakan di sini, hari ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kabinet bersetuju perjawatan bagi penjawat awam baharu berstatus tetap adalah tidak berpencen.
Jelas Ahmad Zahid, pendirian itu dibuat selepas menilai jumlah pencen yang terpaksa ditanggung kerajaan jika sistem saraan sedia ada tidak dipinda, akan mencecah RM120 bilion setahun menjelang 2040.
Mengulas lanjut, Muhamad Akmal berkata, pemansuhan pencen perlu dibuat secara berperingkat dan disokong oleh semua wakil rakyat termasuk pembangkang.
Menurutnya, kerajaan juga perlu mencari alternatif lain untuk menjamin simpanan hari tua penjawat awam.
“Boleh kalau nak mansuh, saya setuju tapi mesti ada skim lain yang sesuai seperti mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau perlindungan insurans,” ujarnya. – UTUSAN