Mangsa diselamat dari Laos lari enggan mengaku dibantu MHO

Mangsa diselamat dari Laos lari enggan mengaku dibantu MHO

HISHAMMUDIN Hashim (kiri) berbual dengan mangsa sindiket pemerdagangan manusia selepas tiba di KLIA, Terminal 1, Sepang. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Suasana sibuk di balai ketibaan antarabangsa Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kecoh terjadi insiden ‘drama’ mangsa sindiket dari Laos.

Kumpulan tujuh individu itu bukan sahaja cuba lari, malahan mereka enggan mengaku diselamatkan oleh Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).

Ketegangan dan ‘perang mulut’ mula berlaku apabila salah seorangnya itu meninggikan suara tidak mahu mereka tampil menyertai sidang akhbar khas di ruang yang disediakan.

Sebaliknya, individu berkenaan mendakwa kononnya mereka berjaya keluar dari Laos atas usaha sendiri tanpa langsung dibantu pihak MHO yang menyelamatkan kumpulan itu.

Walau bagaimanapun ketika dicabar balas oleh aktivis badan tersebut, Azirul Shafiq yang bertanggungjawab membantu mereka di Laos, kumpulan itu dilihat gagal pula menjawab.

Situasi ‘panas’ hampir lima minit itu berakhir apabila mereka beredar meninggalkan ruang legar hingga menyebabkan petugas media terpinga-pinga melihat aksi spontan tersebut.

Terdahulu, wartawan terpaksa menunggu hampir tiga jam meskipun pesawat Batik Air dari Bangkok, Thailand yang membawa mangsa itu sudah tiba di KLIA pukul 9.05 malam tadi.

Mereka sebelum itu menaiki pesawat Thai AirAsia dari ibu kota Laos, Vientiane pukul 2.45 petang semalam dan kemudian transit di Thailand bagi menyambung perjalanan ke KLIA.

Bercakap pada sidang akhbar selepas kejadian tersebut, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya kesal atas apa yang berlaku itu di luar jangkaan.

“Kami memohon maaf kerana ini kali pertama terjadi bahkan MHO berasa ralat apabila pihak media terpaksa menanti agak lama tetapi gagal pula temuramah mangsa,” jelasnya.

Ini merupakan misi kedua MHO menyelamatkan warga Malaysia yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Laos selepas akhir tahun lalu melibatkan tiga orang.

Seperti juga kes sebelum ini, mangsa dikerahkan sebagai hamba moden bekerja di Zon Ekonomi Khas Segitiga Emas (GTSEZ) yang terletak di sempadan Myanmar dan Thailand.

Mangsa kali ini pula termasuk seorang wanita, diselamatkan dalam keadaan tiada pakaian tambahan dan wang tunai serta dianggarkan telah berada di Laos lebih lima bulan lalu.

MHO ujar Hishamuddin namun tetap meneruskan misi berikutnya pada minggu depan kerana ada lagi 15 orang mangsa di GTSEZ yang sudah menghubungi organisasi berkenaan.

Laos ketika ini menjadi hab terbaharu sindiket berkenaan selepas ramai operator jenayah tersebut yang sebelum itu berpusat di Myanmar terpaksa memindahkan operasi mereka.

Ia susulan konflik berdarah di situ antara pasukan pemberontak dan askar tempatan yang mengakibatkan ramai melarikan diri ke Laos bagi meneruskan kegiatan dengan selamat. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya