PETALING JAYA: Keadaan banjir di Johor semakin buruk apabila mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri itu meningkat kepada 6,597 orang pagi ini berbanding 4,834 orang malam tadi.
Berdasarkan kemas kini Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) setakat pukul 9 pagi ini, mangsa enam daerah di Johor terjejas akibat banjir dengan Kota Tinggi mencatatkan jumlah perpindahan tertinggi iaitu seramai 3,111 orang.
Selain itu, daerah lain yang terjejas adalah Johor Bahru membabitkan 1,844 mangsa; Kluang (1,533); Kulai (76), Segamat (20) dan Pontian (13).
Semua mangsa yang terdiri daripada 1,866 keluarga itu ditempatkan di 48 PPS yang diaktifkan susulan kawasan kediaman mereka dinaiki air akibat hujan lebat.
Sementara itu, di Pahang pula, tiga daerah terjejas akibat bencana sama iaitu Rompin, Pekan dan Maran membabitkan 1,075 mangsa terdiri daripada 286 keluarga.
Setakat ini, sebanyak 24 PPS diaktifkan di ketiga-tiga daerah tersebut untuk menempatkan semua mangsa.
Maran merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 440 orang daripada 101 keluarga di 10 PPS, diikuti Rompin membabitkan 403 orang daripada 124 keluarga di tujuh PPS dan Pekan pula membabitkan 232 mangsa daripada 61 keluarga di tujuh PPS.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menjangkakan berlaku penumpuan angin timuran di Pahang, Johor dan timur Sabah sehingga esok manakala di Sarawak keadaan itu berterusan sehingga Khamis ini.
“Keadaan ini boleh menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan di kawasan terbabit. MET Malaysia telah mengemaskini amaran hujan berterusan yang melibatkan timur Pahang dan Johor berkuat kuasa sehingga hari ini.
“Amaran angin kencang dan laut bergelora turut dikeluarkan yang berkuat kuasa sehingga hari ini,” katanya. – UTUSAN