Mangsa banjir gelombang keempat di Terengganu meningkat - Utusan Malaysia

Mangsa banjir gelombang keempat di Terengganu meningkat

PENDUDUK meredah banjir di Jalan Kamaruddin, Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 63 orang daripada 17 keluarga setakat pukul 8 pagi ini berbanding 24 orang daripada tujuh keluarga pada pukul 4 petang semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu brrkata, ketika ini terdapat enam pusat pemindahan sementara (PPS) beroperasi di dua daerah iaitu tiga di Marang dan tiga di Dungun.

Menurutnya, tiga PPS daerah Dungun ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Abang yang menempatkan 16 mangsa daripada empat keluarga, Balairaya Sura Lapangan Terbang (lapan mangsa, dua keluarga) dan Balairaya Jalan Teratai (lapan mangsa, dua keluarga).

“Di Marang pula, jumlah PPS kekal di tiga lokasi iaitu Dewan Sivik Wakaf Tapai yang menempatkan seramai 13 mangsa daripada empat keluarga, Dewan Orang Ramai Bukit Parit (12 mangsa, tiga keluarga) dan SK Padang Mengkuang (enam mangsa, dua keluarga),” katanya di sini, pagi ini.

Bagi daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus pula, kebanyakan kawasan yang dinaiki air pagi semalam sudah surut sepenuhnya semalam.

Dalam pada itu, tiada kesesakan trafik luar biasa menghala ke pusat bandar berlaku pagi ini seperti semalam kerana semua jalan raya yang dinaiki air telah dibuka seperti biasa untuk laluan pengguna.

Bagaimanapun, beliau berkata, agensi keselamatan tetap memantau situasi semasa terutama penduduk yang tinggal di kawasan penempatan yang agak rendah dan berdekatan sungai.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my/aras-air pula melaporkan tiada lagi sungai yang telah melepasi paras bahaya setakat pukul 8 pagi ini.

Bagaimanapun, dua sungai telah melepasi paras amaran iaitu Sungai Tersat di Kampung Sekayu (daerah Hulu Terengganu) menunjukkan bacaan 20.97 meter berbanding paras amaran 20 meter dan Sungai Tumpat di Kampung Kemasik (daerah Kemaman) kini menunjukkan bacaan 2.03 meter berbanding paras amaran 1.90 meter.

Selain itu, lima sungai di empat daerah pula masih menunjukkan bacaan melebihi paras berjaga-jaga iaitu Sungai Nerus di Kampung Langkap dan Sungai Chalok di Jambatan Chalok (daerah Setiu) serta Sungai Peneh di Felda Mengkawang (daerah Hulu Terengganu).

Dua lagi ialah Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan (Marang) dan Sungai Tebak di Jambatan Tebak (Kemaman) manakala parit utama di Padang Kemunting (daerah Kuala Nerus) juga menunjukkan ketinggian air melebihi paras berjaga-jaga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN