Mangsa banjir di Terengganu terus meningkat - Utusan Malaysia

Mangsa banjir di Terengganu terus meningkat

SEORANG kanak-kanak berbasikal meredah air banjir di Kampung Minda, Hulu Dungun, Dungun, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa banjir gelombang keempat di Terengganu terus meningkat dengan mendadak kepada 1,559 orang daripada 471 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding hanya 96 orang daripada 31 keluarga pada pukul 4 petang semalam.

Ketika ini terdapat 32 pusat pemindahan sementara (PPS) beroperasi di lima daerah di Terengganu iaitu sembilan PPS di Setiu, Hulu Terengganu (sembilan PPS), Besut (lapan PPS), Dungun (empat PPS) dan Kemaman (dua PPS).

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu memaklumkan, dua daerah terbaru yang dilanda banjir ialah Hulu Terengganu dan Besut.

Menurutnya, mangsa tertinggi ketika ini ialah di daerah Besut iaitu 516 orang daripada 147 keluarga.

“Di Setiu pula, terdapat 454 orang mangsa daripada 144 keluarga, Dungun (283 orang, 86 keluarga), Hulu Terengganu (282 orang, 88 keluarga) dan Kemaman (24 orang, enam keluarga).

“Ketika ini, hujan masih turun di sesetengah tempat dan orang ramai perlu terus berwaspada dengan sebarang perubahan cuaca di sekitar mereka kerana Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan lebat berterusan kategori buruk akan melanda Terengganu sepanjang hari,” katanya ketika dihubungi di sini, pagi ini.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my/aras-air pula melaporkan tiga sungai di tiga daerah masih melepasi paras bahaya setakat pukul 8 pagi ini ini.

Tiga sungai tersebut ialah Sungai Nerus di Kampung Langkap (daerah Setiu) setinggi 21.17 meter berbanding paras bahaya 21.0 meter, Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja (daerah Dungun) iaitu 38.71 meter (paras bahaya 38.70 meter) dan Sungai Besut di Jambatan Keruak (daerah Besut) setinggi 35.55 meter (paras bahaya 35.0 meter).

Selain itu, stesen bacaan lima sungai di empat daerah pula kini merekodkan bacaan melebihi paras amaran iaitu Sungai Telemong di Kuala Ping dan Sungai Tersat di Kampung Sekayu (Hulu Terengganu) serta Sungai Nerus di Kampung Bukit (Setiu).

Dua lagi ialah Sungai Tebak di Jambatan Tebak (daerah Kemaman) dan Sungai Dungun di Kuala Jengai (daerah Dungun). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN