PETALING JAYA: “Depan anak saya dia kata ‘kau tau tak ini bukan bapa kau’. Rasa nak sepak sahaja indivdu itu.”
Demikian luahan pelawak, Achey yang geram apabila anak angkatnya, Tiara Zinnirah menjadi sasaran individu yang mungkin tidak suka atau cuba mencari pasal dengannya.
Jelas Achey, dia sudah lali jika kecaman dan hinaan tersebut berkait dengannya namun jika melibatkan soal anak, dia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan.
“Mandul, tak subur dan sebagainya sudah lali saya dengar. Ada juga yang perli cakap ‘engkau ni masalah’, saya cuma diam. Tapi bayangkan ada satu kenduri, depan anak saya dia kata ‘kau tau tak ini bukan bapa kau’.
“Ketika macam nak sepak pakcik tu, sebab dia tak jaga mulut isteri dia. Ketika itu saya memang tak okey, isteri terus bangun gosok belakang minta saya bersabar.
“Nak ‘tembak’, hina ke apa cukup saya saja, bukan anak. Tak tahu apa yang dia cemburu atau didengkikan. Orang luar saya masih boleh buat tak peduli, tapi ini yang cakap orang terdekat,” katanya.
Dalam pada itu, Achey berkata, dia dan isteri, Nor Hasanah Yahaya masih belum berputus asa untuk berusaha malah mendedahkan pernah beberapa kali mencuba pelbagai kaedah lain antaranya Persenyawaan In Vitro (IVF).