Malaysia terus sokong Afrika Selatan heret Israel ke ICJ 

Malaysia terus sokong Afrika Selatan heret Israel ke ICJ 

Seorang penduduk Palestin berjalan di atas runtuhan bangunan di Rafah, Selatan Gaza akibat serangan tentera Israel sejak 7 Oktober lalu, – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia terus menyokong Afrika Selatan dalam tindakan undang-undang terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) semasa perbicaraan terbuka kes pada semalam dan hari ini.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan berkata, sebagai negara pihak kepada Konvensyen Genosid, Malaysia menyeru Israel menghormati undang-undang antarabangsa dan menamatkan kekejamannya terhadap rakyat Palestin serta-merta. 

“Malaysia menyambut baik permulaan perbicaraan terbuka kes yang dibawa Afrika Selatan terhadap Israel di ICJ. 

“Malaysia mengulangi komitmen untuk memperjuang nasib rakyat Palestin di semua saluran dan menantikan keputusan perbicaraan ICJ ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ICJ membuka perbicaraan kes Afrika Selatan yang menuntut penggantungan operasi ketenteraan di Gaza yang mana ia mendakwa Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.

ICJ mendengar hujah Afrika Selatan semalam dan respons Israel terhadap dakwaan itu pada hari ini. 

Dalam pemfailan mahkamahnya, Afrika Selatan menyebut kegagalan Israel menyediakan makanan, air, ubat-ubatan dan bantuan kemanusiaan penting lain kepada kawasan Palestin.

Badan kehakiman itu dijangka membuat keputusan mengenai langkah kecemasan akhir bulan ini.

Mahkamah tidak akan membuat keputusan pada waktu terdekat ini mengenai dakwaan pembunuhan beramai-ramai, malah, prosiding itu boleh mengambil masa bertahun-tahun.

Pada 31 Disember lalu, media antarabangsa melaporkan,  Afrika Selatan memfailkan kes terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dengan mendakwa rejim Zionis itu melakukan genosid atau pembunuhan beramai-ramai di Gaza. 

Bagaimanapun, pada 5 Januari lalu, Israel dilaporkan mahu melawan kes difailkan Afrika Selatan di ICJ yang mendakwa rejim Zionis itu melakukan genosid atau pembunuhan beramai-ramai di Gaza. 

Perkara itu dimaklumkan oleh jurucakap Israel, Eylon Levy, dalam satu kenyataan. 

Afrika Selatan dalam permohonan kepada ICJ mendakwa Israel melanggar kewajipan di bawah Konvensyen Genosid.

Permohonan kepada ICJ itu turut merujuk dakwaan Israel terlibat dan berisiko untuk terus melakukan lagi pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza. 

Berdasarkan permohonan itu, Afrika Selatan juga mendakwa Israel bertindak dengan ‘niat khusus’ untuk memusnahkan rakyat Palestin di Gaza sebagai sebahagian daripada penduduk etnik, kumpulan kaum dan penduduk wilayah berkenaan.

Afrika Selatan sejak dahulu lagi lantang dalam memperjuang isu Palestin, dengan parti pemerintah Kongres Nasional Afrika (ANC) sering mengaitkannya dengan perjuangan sendiri menentang apartheid. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya