PUTRAJAYA: Malaysia hari ini melakar sejarah apabila muncul sebagai negara pertama di rantau Asia Pasifik yang bakal melakukan ujian klinikal lapangan First-in-Human (FIH) melibatkan eksperimen dadah baharu bagi rawatan pesakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, Malaysia menjadi antara tujuh negara di dunia untuk melaksanakan kajian itu yang dianugerahkan badan farmaseutikal terbesar global, Roche Pharmaceutical.
Katanya, ia diketuai Konsultan Rheumatologist, Dr. Teh Cheng Lay di Pusat Penyelidikan Klinikal Hospital Umum Sarawak yang diperakui Agensi Regulatori Farmaseutikal Kebangsaan.
“Kita berharap hasilnya kelak akan bantu penerokaan rawatan lebih selamat kerana ini julung kali penyelidikan dilakukan di bawah situasi petunjuk cabang reumatologi,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah Clinical Research Malaysia (CRM) di sini hari ini.
Penyakit ini dipilih kerana kajian menunjukkan wanita berusia antara usia 15 hingga 50 tahun membentuk 80 peratus daripada lebih 10,000 penghidap SLE di seluruh Malaysia yang berisiko maut.
Pada masa sama, beliau menambah, keyakinan pihak Roche yang berpengalaman luas sejak ditubuhkan pada 1896 di Switzerland membuktikan kemampuan saintis tempatan.
Selain itu ujarnya, pemilihan Malaysia menunjukkan keyakinan firma global terhadap daya saing negara ini dalam bidang kajian klinikal yang amat berkualiti, pantas dan dipercayai.
Syarikat multinasional tersebut menjadi rujukan penyelidikan farmaseutikal dengan aktif di lebih 100 negara dan memiliki lebih 100,000 petugas serta pelaburan berbilion ringgit. – UTUSAN