PETALING JAYA: Malaysia terus menyuarakan gesaan supaya Palestin diterima sebagai anggota ke-194 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan gencatan senjata segera di Semenanjung Gaza yang kini masih lagi bergolak akibat peperangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasrat rakyat dan kepemimpinan Malaysia itu disampaikan sendiri oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Gutteres di New York, Amerika Syarikat (AS), semalam.
Beliau berkata, gesaan Malaysia itu seiring dengan kenyataan Gutteres di Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali di Kampala, Uganda bahawa hak Palestin untuk membina sebuah negara merdeka tidak boleh dinafikan.
“Keamanan dan kedamaian hanya dapat dicapai dan dipertahan jika hak sebenar dikembalikan kepada yang berhak. Jika penindasan, kekerasan, rampasan hak dan dasar apartheid dibenar berleluasa, nescaya tiada suatu noktah yang selamat dalam kehidupan.
“Pasti suatu hari, sekarang atau di masa hadapan, mereka yang tertindas dan dinafikan segala hak akan bangkit menentang ketidakadilan sebegini,” katanya dalam hantaran dialamlaman sosial Facebook miliknya, hari ini.
Pada masa sama, Perdana Menteri menegaskan bahawa Malaysia kekal dengan pendirian berprinsip iaitu Palestin berhak mendapat hak membentuk sebuah negara yang merdeka dan berdaulat berdasar garis sempadan pra-1967 dengan Baitul Maqdis sebagai Ibu Kota.
Sementara itu, Mohamad yang kini berada di New York berkata, Malaysia akan terus berjuang mengikut kemampuan untuk menamatkan ketidakadilan dan ketidaksahan dalam peperangan di wilayah tersebut.
Justeru, beliau yang sedang menyertai Debat Terbuka Peringkat Menteri di Majlis Keselamatan PBB, berhubung situasi di Timur Tengah termasuk isu Palestin, menegaskan bahawa negara tersebut perlu diterima sebagai anggota ke-194 PBB.
“Kami menggesa Majlis Keselamatan PBB untuk bertindak sekarang. Majlis Keselamatan PBB perlu mengambil tindakan tegas untuk menghentikan peperangan dan menyelamatkan nyawa orang awam. Hentikan hukuman secara menyeluruh sekarang,” katanya. – UTUSAN