Malaysia bincang bersama China lanjut pinjaman panda

Malaysia bincang bersama China lanjut pinjaman panda

SALAH seorang panda yang ditempatkan di Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC) Zoo Negara, Kuala Lumpur. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia akan berbincang dengan China supaya tempoh pasangan haiwan panda Xing Xing dan Liang Liang yang dipinjamkan republik berkenaan kepada negara ini dilanjutkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan menghubungi Presiden China, Xi Jinping untuk memohon pelanjutan tempoh kedua-dua panda itu tinggal di negara ini. 

“Saya akan hubungi Xi Jinping untuk melihat mekanisme yang boleh dilakukan bagi melanjutkan tempoh panda berkenaan tinggal di Malaysia.

“Seperti diketahui hubungan hebat antara kedua-dua negara, saya optimistik bahawa China akan berikan pertimbangan dan sokongan kepada permintaan kita ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Jubli Intan Ulang Tahun ke- 60 Zoo Negara, di sini hari ini.

Mengikut jadual, Xing Xing dan Liang Liang dipinjamkan kepada Malaysia pada 2014 dan mereka akan berada di Malaysia sehingga 20 Mei 2024.

Ditanya mengenai ada yang berpandangan kehadiran panda itu sebagai membazir dan sepatutnya dipulangkan, beliau menjelaskan Malaysia tidak membayar harga panda berkenaan.

“Kita tidak bayar harga panda itu, cuma penjagaannya sahaja dan kalau ada kesediaan. Apabila ditanya kepada orang ramai, di antaranya yang berkunjung ke Zoo Negara adalah nak melihat panda.

“Kadangkala ada orang cerdik pandai di Kuala Lumpur dia tak minat sebab dia boleh pergi ke negara China melihat panda.

“Namun bagi rakyat kebanyakan, dia berasakan ini sahaja peluang sekali dan seumur hidup melihat panda. Jadi saya timbang dari segi itu,” katanya dalam sidang akhbar.

Perdana Menteri mengakui bahawa sememangnya melibatkan kos penjagaan agak mahal termasuk hal penyelenggaran dan pengurusan makanan.

“Tetapi inilah sedikit belanja yang boleh menyenangkan pengunjung,  kita kena lihat dari segi itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengumumkan berita gembira kepada Zoo Negara dengan sumbangan bernilai RM10 juta untuk menjaga dan memelihara haiwan di lokasi ikonik dan penuh sejarah berkenaan.

Katanya, jumlah RM10 juta itu membabitkan dana RM5 juta daripada Kerajaan Persekutuan manakala selebihnya daripada usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat-syarikat.

“Dengan kadar RM10 juta ini, kita akan kawal dengan wakil Menteri Besar (Selangor) dan kerajaan serta bekerjasama dengan jawatankuasa Zoo Negara supaya dapat baiki perancangan dan projek.

“Mungkin ada satu sudut Madani di Zoo Negara ini supaya ada sesuatu agak istimewa di sini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya