Mak beritahu nak pergi lama - anak - Utusan Malaysia

Mak beritahu nak pergi lama – anak

SAUDIN Mohamad menunjukkan gambar ibunya, Rahmah Zainon dan Razilawati bersama ahli keluarga ketika ditemui di Gerik hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Seorang lelaki tidak menyangka, kata-kata ibunya yang mahu ‘pergi’ lama menjadi petanda orang tuanya itu akan pergi meninggalkan keluarga untuk selamanya.

Dalam kejadian pada awal pagi tadi, mangsa, Rahmah Zainon, 76, ditemukan rentung bersama anak perempuannya, Razilawati Mohamad, 43, dalam pondok yang terbakar di dusun buah-buahan di Kampung Air Tarung, Jalan Air Ganda dekat sini.

Anak mangsa, Saudin Mohamad, 37, berkata, hasrat ibunya untuk tinggal lebih lama di dusun mereka itu telah beberapa kali disuarakan termasuk kepada jiran-jiran di rumah mereka di Kuala Ketil, Kedah.

Katanya, walaupun berasa pelik dengan kata-kata ibunya itu, dia tidaklah terlalu memikirkannya dan menganggap ia hanya perbualan biasa.

“Mak cakap nak pergi lama dan mahu bawa baju lebih. Ketika itu, saya tak dapat tangkap (memahami) maksudnya sebab saya fikir, mahu tinggal lama di dusun pun nak buat apa.

“Memang ada rasa pelik sikit tapi perkara itu tak terluahkan. Bila terjadi kejadian ini, barulah kita sedar. Kita pun tak sangka perkara macam ini boleh jadi,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Gerik di sini hari ini.

Menurut Saudin yang juga anak ke lapan daripada sembilan beradik itu, dia diberitahu mengenai kebakaran itu pada pukul 4 pagi selepas dihubungi jiran di dusun berhampiran tanpa dimaklumkan keadaan sebenar ibu dan kakaknya.

Katanya, dia yang tiba di lokasi kejadian sekitar pukul 6.30 pagi bagaimanapun terperanjat apabila melihat pondok yang telah dibina sejak kecil, musnah terbakar dengan ibu dan kakaknya rentung.

“Kami datang ke sini Jumaat lalu, untuk bersihkan dusun dan ada buat jamuan sikit kelmarin. Adik-beradik yang lain pun ada datang sekali.

“Kami pulang semula malam tadi sekitar pukul 9 malam. Emak dan ayah tidak mahu balik dan mahu tinggal di pondok sebab kami pun akan datang semula ke sini (minggu ini),” katanya.

Menceritakan kejadian tersebut, Saudin berkata, ketika kebakaran berlaku, ibu dan bapa serta kakaknya sedang tidur di dalam pondok sebelum lelaki itu menyedari terdapat api di bahagian dapur.

Katanya, bapanya cuba memadamkan kebakaran tersebut namun api semakin marak dan segera mengejutkan ibu dan kakaknya untuk menyelamatkan diri.

“Mungkin sebelum kejadian, emak ada masak air sebab ayah beritahu nampak cerek di atas dapur. Dia cuba padamkan api dan bantu mak dan kakak keluar, tapi tenaga orang tua pun tidaklah kuat lagi pula kakak cacat penglihatan.

“Ayah pun mengalami lecur di tapak tangan namun keadaannya tidak begitu teruk. Kami sudah bawa dia balik ke kampung untuk urusan pengebumian mak dan kakak,” katanya.

Jenazah dua beranak yang selesai dibedah siasat itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Guar Cempedak, Kuala Ketil di Kedah.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat pada pukul 7.38 pagi.

“Setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati sebuah pondok kelas C musnah terbakar dianggarkan sebanyak 95 peratus.

“Terdapat seorang wanita berusia 76 tahun dan anak perempuannya berusia 43 tahun yang merupakan orang kurang upaya (OKU) mata telah rentung dalam kebakaran itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya