KUALA TERENGGANU: Lebih 60 kakitangan
yang pernah bertugas di Kilang Pencetakan Utusan Melayu di Bukit Kecil hadir pada majlis hi-tea dan reunion di sebuah hotel di sini, petang ini.
Majlis tersebut bertujuan menghimpunkan semula bekas kakitangan kilang tersebut setelah mereka terpisah lama membawa haluan masing-masing.
Bekas Ketua Biro Utusan Malaysia cawangan Terengganu, Mohamed Jusoh berkata, majlis itu bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan bekas kakitangan kilang tersebut yang terjalin seperti satu keluarga selama ini.
Menurutnya, beliau gembira apabila bekas kakitangan kilang tersebut termasuk yang tinggal dari luar Terengganu turut hadir memeriahkan majlis tersebut.
Katanya, pendakwah selebriti, Ustaz Azhar Idrus yang juga merupakan bekas kakitangan di kilang itu juga tidak ketinggalan meluangkan masa untuk bertemu dan beramah mesra dengan rakan-rakan lamanya yang pernah bertugas di kilang itu.
“Pada majlis tersebut, Ustaz Azhar turut menyampaikan tazkirah ringkas dan
mengetuai tahlil bagi rakan-rakan yang telah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui pada majlis itu di sini, petang ini.
Kilang percetakan Utusan Melayu Bukit Kecil yang beroperasi dari tahun 1985 hingga 1990 mempunyai lebih 100 kakitangan.
Kilang tersebut ditutup setelah Kilang Percetakan Utusan Melayu yang baharu dibuka di Gong Badak dekat sini pada 1991. – UTUSAN