Majikan perlu sahkan pekerja asing sebelum 31 Mac ini - Utusan Malaysia

Majikan perlu sahkan pekerja asing sebelum 31 Mac ini

Majikan pekerja asing
SAIFUDDIN Nasution Ismail menyapa warga asing yang hadir pada program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 dekat Jabatan Imigresen Negeri Selangor di Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Semua majikan yang mendaftar Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 diminta melakukan proses verifikasi pekerja asing mereka sebelum 31 Mac ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, statistik menunjukkan seramai 1.1 juta warga asing sudah didaftarkan dalam program itu yang tamat pada hujung tahun lalu.

Jelas beliau, tumpuan kini meliputi proses verifikasi bagi memastikan dokumen dan identiti pekerja itu bertepatan dengan pendaftaran majikan.

“Ia antaranya melibatkan pengecaman cap jari atau biometrik sebelum bayaran levi dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen.

“Justeru, saya meminta semua majikan melakukan proses verifikasi itu yang akan berakhir pada hujung Mac depan,” katanya pada sidang akhbar program itu di Jabatan Imigresen Selangor Kompleks PKNS di sini, petang semalam.

Pengambilan pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai pembantu rumah menjadi sektor baharu dibenarkan dalam RTK 2.0 yang dibuka semula 27 Januari tahun lalu.

Sektor lain antaranya perkilangan, pembinaan, perlombongan, kuari, pengawal keselamatan, perkhidmatan, pertanian dan perladangan. 

Tawaran rekalibrasi itu terbuka kepada semua pekerja asing yang tiada dokumen lengkap termasuk PATI yang langsung tiada dokumen. RTK 2.0 mengenakan syarat lebih fleksibel, namun tidak mengetepikan elemen keselamatan dalam negara.

Mengulas lanjut, kata Saifuddin, tindakan tegas akan diambil ke atas majikan yang gagal membuat verifikasi tersebut.

“Selepas 31 Mac itu, mereka yang menggajikan pekerja asing tanpa dokumen sah melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63. Peruntukan Seksyen 55B, Seksyen 55E dan Seksyen 56 (1) (d) itu memperuntukkan denda dan penjara jika sabit kesalahan,” jelasnya.

Tambah beliau, pihaknya turut akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Sumber Manusia berkaitan isu kuota pekerja asing di negara ini.

“Tumpuan pengurusan pekerja asing itu akan melibatkan lima sektor utama dan segmen majikan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya