PETALING JAYA: Ketua eksekutif Asia Pasifik FENIX360, Sandy Monteiro, berhasrat membantu golongan selebriti menjana pendapatan hanya dengan menggunakan platform media sosial.
Langkah berkenaan diambil selepas melihat bayaran berat sebelah yang diberikan kapitalis platform digital sedia ada kepada pencipta kandungan dan artis.
“Kami di FENIX360 faham akan situasi ini dan mahu memberikan keuntungan yang adil kepada artis. Di platform tertentu, artis mungkin hanya memperoleh bayaran tiga bulan selepas lagu dimuat naik.
“Jika mereka melalui pihak ketiga seperti label atau syarikat rakaman, jumlah yang mereka peroleh akan semakin kecil dan bayaran juga semakin lambat bergantung kepada kontrak. Bayangkan, artis boleh kebulur hanya dengan menunggu bayaran,” katanya.
Sandy ditemui Utusan Malaysia di sidang media konsert FENIX360 Malaysia Live!, di Jiospace pada Ahad.
Menurut Sandy, menerusi FENIX360, pengguna akan dibayar 70 peratus daripada keuntungan berbanding media sosial lain yang hanya memberi 15 peratus keuntungan kepada pencipta kandungan.
“Di platform kami, anda akan memperoleh bayaran menggunakan nilai mata wang dolar Amerika Syarikat (USD). Bayaran diberikan berdasarkan jumlah pengikut di akaun anda.
“Jika artis diuruskan oleh pihak label, kami akan pastikan bayaran masuk serentak tanpa perlu menunggu pengesahan daripada syarikat naungan anda terlebih dahulu,” katanya.
Melalui aplikasi platform media sosial FENIX360, mereka ingin membantu para artis menjana pendapatan sekurang-kurangnya 500 USD setiap bulan.
“Kami ambil masa tiga tahun untuk bangunkan platform ini. Objektif kami adalah untuk menjadikan para artis memperoleh bayaran lebih banyak berbanding pendapatan yang mereka peroleh di media sosial yang lain.
“Jika artis berjaya memperoleh USD 500 setiap bulan, ia akan membantu golongan artis hari ini yang mungkin sedang kebuluran. Kami sediakan platform untuk para artis mengubah hidup mereka,” jelas Sandy.
FENIX360 menampilkan pembaharuan teknologi digital dengan pengintegrasian teknologi blockchain.
Aplikasi FENIX360 kini boleh didapati di fenix360.com dan di platform iOS dan Android secara global.
Konsert FENIX360 Malaysia pada Ahad lalu turut dimeriahkan dengan persembahkan kumpulan Insomniacks, MASDO, Noh Salleh, MYO (Jemson), Leaism, The Frankie Sixes dan DJ Jemput Dengar.