KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Johor Bahru melepas dan membebaskan seorang pemuda berusia 21 tahun daripada tuduhan merogol seorang pelajar berusia 14 tahun di sebuah kebun kelapa sawit di Kulai, Johor, hampir empat tahun lalu.
Hakim Datuk Abu Bakar Katar turut memerintahkan perbicaraan terhadap seorang remaja berusia 17 tahun atas tuduhan merogol mangsa berlainan berusia 13 tahun, diteruskan di hadapan majistret pengganti.
Beliau memutuskan demikian selepas menyemak rekod kedua-dua perbicaraan bagi menentukan kesahan prosiding atau perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Bahagian Kanak-Kanak (MBKK) yang bersidang tanpa kehadiran dua penasihat.
Hakim berkenaan memanggil kedua-dua rekod prosiding di bawah Seksyen 323 (1) Kanun Prosedur Jenayah (CPC) bagi meneliti sama ada terdapat kecacatan atau ketidakaturan yang memerlukan beliau menggunakan kuasa semakan.
Dalam keputusannya, Hakim Abu Bakar berpuas hati perbicaraan terhadap pemuda berusia 21 tahun itu MBKK Kulai, Johor adalah sah walaupun tanpa kehadiran dua penasihat.
Beliau turut berpendapat, prosiding terhadap remaja 17 tahun juga tidak terjejas walaupun perbicaraan di MBKK Kota Tinggi dijalankan tanpa kehadiran dua penasihat.
“MBKK yang bersidang tanpa kehadiran dua penasihat adalah sah dan tidak menjejaskan prosiding,” ujarnya dalam alasan penghakiman bertarikh 31 Disember 2023 yang diperolehi pihak media hari ini.
Dalam kedua-dua prosiding, mereka dirujuk sebagai pesalah kanak-kanak.
Menurut pertuduhan, remaja berkenaan yang ketika itu berusia 14 tahun didakwa merogol mangsa berusia 13 tahun di sebuah rumah kosong di Taman Aman, Kota Tinggi, Johor pada pertengahan tahun 2020.
Perbicaraan ketika itu berlangsung tanpa kehadiran dua penasihat dengan mendengar keterangan tiga saksi.
Bagaimanapun pada 3 Julai 2023, pihak pendakwaan memohon menarik balik kes dan mahkamah melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan.
Sementara, pemuda berkenaan yang ketika kejadian berusia 18 tahun didakwa merogol mangsa berusia 14 tahun kira-kira pukul 8 pagi, 5 Jun 2020 di sebuah kebun kelapa sawit di Kulai.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Khairuddin Khalid manakala peguam-peguam Fatanah Nur Humairah Zainal Abidin dan Muhammad Faizzudin Abd. Ra’fik mewakili kedua-dua remaja tersebut.
Rosli Kamaruddin dan Muhammad Zahier Rosli pula bertindak sebagai sahabat mahkamah (amicus curiea) dalam prosiding berkenaan.
Pihak pendakwaan berhujah, dua penasihat tidak perlu hadir ketika prosiding di MBKK kerana peranan mereka hanya bermula apabila mahkamah memutuskan pesalah kanak-kanak itu bersalah terhadap pertuduhan.
Sehubungan itu, pihak pendakwaan menghujahkan, kedua-dua prosiding itu sah meskipun tanpa kehadiran dua penasihat.
Bagaimanapun, pihak sahabat mahkamah menghujahkan, dua penasihat diwajibkan hadir setiap kali MBKK menjalankan perbicaran kerana tanpa kedua-duanya, prosiding itu tidak sah.
Bagaimanapun, Hakim Abu Bakar berpendapat, MBKK dalam keadaan tertentu mempunyai budi bicara untuk bersidang tanpa kehadiran dua penasihat.
“Mahkamah berpendapat bahawa di bawah Seksyen 11(4) Akta Kanak-Kanak 2001, penasihat berperanan memberi pandangan apabila MBKK memutuskan kesalahan telah dibuktikan terhadap pesalah kanak-kanak.
“Namun semasa prosiding, penasihat tidak boleh mencampuri urusan perbicaraan seperti yang ditetapkan oleh akta berkenaan,” ujar beliau. – UTUSAN