PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dan Ahli Dewan Negara, Datuk Dr Mohd. Hatta Ramli masing-masing diumumkan sebagai Naib Presiden dalam senarai Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah) yang baharu selepas pemilihan parti itu selesai, bulan lalu.
Pengumuman sama turut menyaksikan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil yang juga merupakan anak kepada bekas Presiden Pas, Datuk Fadzil Mohd. Noor menggalas tugas sebagai Setiausaha Agung Amanah.
Muhammad Faiz berkata, bekas Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd. Samad kekal memegang jawatan Pengarah Komunikasi manakala ADUN Pandan Indah, Izham Hashim dilantik sebagai Bendahari Amanah.
Katanya, pengumuman senarai jawatankuasa baharu Amanah itu dilihat sebagai salah satu komponen Kerajaan Madani dan mahu meningkatkan komitmen untuk bergerak sebagai satu pasukan dengan lebih jitu bagi sesi 2023-2026 kerana menyedari tuntutan politik semasa semakin mencabar.
“Kesungguhan ini adalah bagi memastikan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal utuh dan stabil demi menjamin pembangunan negara yang mampan dan kehidupan rakyat yang sejahtera.
“Berteraskan semangat agenda perpaduan diangkat sebagai tema Konvensyen Amanah Nasional 2023, Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional (JKP) dalam mesyuarat pertama pada hari ini yang dipengerusikan Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Sabu, sebulat suara memutuskan pelantikan jawatan-jawatan pengurusan merangkumi gandingan pimpinan berpengalaman dan muda dalam kalangan 27 orang JKP dipilih dalam Konvensyen Amanah Nasional pada 24 Disember 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, senarai itu juga menyaksikan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd. Sany Hamzan dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya manakala Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat mengalas amanah Pengarah Pembangunan Manusia.
Selain itu, bekas Ahli Parlimen Tampin, Datuk Dr Hasan Bahrom dilantik Pengarah Syariah dan Ahmad Sabki Yusof pula sebagai Pengarah Strategi.
Pemilihan Amanah baru-baru ini menyaksikan Mohamad kekal menerajui Amanah selepas dipilih sebagai Presiden manakala Timbalan Presiden disandang oleh Ahli Dewan Negara, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.
Mujahid menggantikan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia pada 23 Julai tahun lalu.
Dalam pada itu, Muhammad Faiz berkata, perlantikan Pengerusi Amanah di peringkat negeri akan dibuat dalam mesyuarat Amanah Nasional akan datang setelah notis bertulis yang cukup diberikan kepada setiap kawasan Amanah seluruh negara bagi menamakan calon sesuai dan layak untuk dipertimbangkan dan diputuskan oleh Presiden dan JKP.
Sementara itu, beliau memaklumkan, mesyuarat Amanah Nasional turut meluluskan kerangka pelan strategi yang dicapai melalui pemukiman berlangsung semalam dengan objektif untuk menguatkan parti melalui agenda mengukuhkan organisasi, membina kemantapan ahli melalui nilai-nilai dikongsi bersama dan mengasaskan identiti perjuangan dan pendekatan politik disegani rakyat Malaysia berteraskan prinsip amanah, adil dan rahmat untuk semua. – UTUSAN