PETALING JAYA: Wanita warga Tanzania dipercayai mengeksploitasi rakan senegara sebagai pekerja seks ditahan dalam serbuan di sebuah pangsapuri di ibu negara, Isnin lalu.
Operasi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Risikan Operasi Bahagian Atipsom dan AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya pada 4.30 petang, 29 Januari lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Ruslin Jusoh berkata, tangkapan melibatkan wanita berusia 32 tahun dikenali sebagai ‘madam’ yang disyaki menyalahgunakan kemudahan pas pelajar dengan menjadi ‘ibu ayam’.
Katanya, pihaknya turut menyelamatkan wanita warga Tanzania berusia 29 tahun diselamatkan selepas dipercayai menjadi mangsa eksploitasi dengan dijanjikan pekerjaan oleh sindiket yang menguruskan kemasukannya ke dalam negara.
Katanya, wanita itu dikawal oleh ahli sindiket yang juga warga Tanzania untuk dieksploitasi sebagai pekerja seks selain pasport turut dipegang dan disimpan tanpa kerelaan.
“Mangsa yang diselamatkan kemudian ditempatkan di rumah perlindungan di bawah Arahan Perlindungan Sementara atau Interim Protection Order (IPO).
“Operasi berdasarkan maklumat oleh Suruhanjaya Tinggi Republik Tanzania di Kuala Lumpur dan risikan dijalankan Imigresen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ruslin, pasukan operasi mengenal pasti sebuah rumah di pangsapuri yang dijadikan tempat tinggal ahli sindiket.
Jelasnya, suspek enggan membuka pintu dan tidak memberikan kerjasama pada awalnya sehingga memaksa pasukan operasi menyerbu masuk ke premis itu.
“Modus operandi sindiket itu yang dikenal pasti adalah menjanjikan pekerjaan termasuk peluang untuk melanjutkan pelajaran di Malaysia.
“Selain itu, ahli sindiket dikesan sering berpindah dari satu kediaman mewah ke kediaman mewah lain bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Tambahnya, JIM memulakan siasatan bagi melihat kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.- UTUSAN