LKM fokus pemulihan kebun koko di Sabah

LKM fokus pemulihan kebun koko di Sabah

CHAN Foong Hin (dua kanan) semasa lawatan di Ibu Pejabat LKM di Kota Kinabalu semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Ke arah mengurangkan kebergantungan terhadap import biji koko kering, Lembaga Koko Malaysia (LKM) akan melaksanakan Projek Pemulihan Kebun Koko yang membabitkan kawasan seluas 1,344 hektar di Sabah pada tahun ini.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, Sabah menerima peruntukan RM5 juta bagi projek pemulihan yang akan membabitkan 2,084 orang petani.

Beliau berkata, projek itu akan meningkatkan hasil koko melalui insentif input pertanian serta menerapkan aplikasi teknologi terkini dalam pengurusan kebun koko.

Katanya, Sabah adalah pengeluar biji koko utama di negara ini. Pada 2023, keluasan tanaman koko di Sabah adalah seluas 8,510 ekar atau 3,444 hektar iaitu 57.5 peratus daripada jumlah keluasan tanaman koko negara.

Secara keseluruhannya, industri koko di Malaysia masih mempunyai potensi besar untuk berkembang pesat dari sektor huluan ke hiliran kerana negara ini adalah pengeksport utama produk koko di dunia.

“Koko antara tanaman komoditi makanan utama yang menyumbang kepada pendapatan eksport negara.

“Pada 2022, perolehan daripada eksport koko adalah sebanyak RM7.82 bilion manakala, setakat Januari hingga November 2023, perolehan eksport koko dianggarkan sebanyak RM7.4 bilion.

“Namun, imbangan dagang bagi industri koko pada 2022 hanya mencatat RM1.72 bilion dan RM20 juta pada 2023 (setakat November) disebabkan kebergantungan import biji koko kering.

“Maka, adalah aspirasi saya untuk kita sama-sama membangunkan industri koko terutamanya di Sabah dengan bersungguh-sungguh supaya kita dapat meningkatkan imbangan dagang koko pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Foong Hin, yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu mengadakan lawatan kerja rasmi pertama ke Ibu Pejabat LKM di Wisma Sedco, semalam.

Mengulas lanjut katanya, pada masa ini, industri hiliran koko di Sabah terdiri daripada empat syarikat pengilang coklat dan konfeksi koko serta 32 usahawan coklat tempatan.

Pada 2022, nilai jualan usahawan coklat di Sabah berjumlah RM 792,351 manakala, pada tempoh Januari hingga September tahun lalu, nilai jualan telah mencapai RM851,928.

Jelas beliau, memandangkan nilai jualan industri hiliran masih rendah maka, usaha berterusan daripada LKM diperlukan dalam membantu meningkatkan hasil jualan usahawan dan menambah bilangan pengusaha-pengusaha koko di Malaysia melalui dasar dan projek-projek yang dirancang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya