SUNGAI BULOH: Lima individu termasuk remaja berusia 14 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kejadian merusuh semasa perlawanan bola sepak di sebuah padang di Persiaran Gamuda Garden 1, Bandar Gamuda, di sini, semalam.
Kejadian pukul 10.40 malam itu dipercayai berlaku kerana perselisihan faham antara pemain pasukan bola sepak terlibat.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Shafa’aton Abu Bakar berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang remaja lelaki tempatan, semalam.
Katanya, mangsa yang berusia 14 tahun ketika itu sedang bermain bola menentang pasukan lain sebelum berlaku perselisihan faham antara kawan mangsa dan pemain lawan.
“Mangsa yang datang untuk meleraikan pergaduhan tetapi diserang beberapa pemain lain.
“Kejadian itu mengakibatkan mangsa luka di bahagian hidung, lebam di bahagian belakang, lebam di leher, muka dan sakit di seluruh bahagian badan,” katanya di sini.
Menurut Shafa’aton, mangsa tampil ke balai polis untuk tindakan lanjut.
“Semakan mendapati kedua-dua pihak telah membuat laporan polis. Lima tangkapan telah dibuat untuk membantu siasatan. Anggaran usia suspek yang ditangkap antara 14 hingga 39 tahun,” ujarnya,
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular dalam media sosial video memaparkan pergaduhan yang berlaku antara pemain bola sepak.
Menerusi video yang dimuat naik oleh @pengadilbola di aplikasi X, pergaduhan yang dipercayai melibatkan lebih 30 individu itu difahamkan berlaku dalam kalangan pemain liga bawah umur.
Kelihatan pemain-pemain tersebut saling memukul satu sama lain menggunakan kerusi serta topi keledar, namun sehingga kini jumlah kecederaan tidak dapat dipastikan. – UTUSAN