KOTA KINABALU: Sebanyak lima blok rumah pekerja yang menempatkan 50 bilik musnah dalam kebakaran yang berlaku di Jalan Penampang Bandar Baru, Penampang hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4.50 petang mengenai kebakaran lima blok rumah pekerja dan sepasukan 14 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang dikejarkan ke lokasi kejadian.
BBP Kota Kinabalu turut menghantar sembilan pegawai dan anggota bagi membantu pasukan BBP Penampang untuk memadam kebakaran. Turut menghantar bantuan adalah sembilan anggota PDRM.
Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, didapati sebanyak lima blok rumah pekerja yang mempunyai 10 pintu setiap blok musnah sepenuhnya dalam kejadian kebakaran tersebut.
PGO memaklumkan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian kebakaran berkenaan.
“Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang menjalankan kerja-kerja pemadaman menggunakan dua aliran 300 kaki dengan menggunakan empat pancutan dan sumber air daripada pili bomba.
“Sementara itu, BBP Kota Kinabalu memadam kebakaran menggunakan satu aliran 300 kaki dua pancutan dengan menggunakan sumber air daripada lori tangki,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi dilaporkan terkawal pada pukul 5.50 petang dan kerja-kerja memadam bara api masih dilakukan. – UTUSAN