KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti isu levi keuntungan luar biasa (WPL) atau ‘durian runtuh’ yang dibangkitkan pemain-pemain industri dan berunding dengan pihak berkaitan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ini susulan kebimbangan disuarakan mereka berhubung peningkatan kos pengeluaran hampir RM3,000 per tan, kerana cukai yang dikenakan sebanyak tiga peratus ke atas harga minyak sawit.
Jelasnya, kenaikan itu bagi RM3,000 per tan di Semenanjung Malaysia dan lebih RM3,500 per tan di Sabah dan Sarawak.
“Mereka beritahu sekarang kos meningkat, dahulu kita buat tanam kelapa sawit ini RM1,500 ke RM1,800 tetapi kos ini meningkat hampir mencecah RM3,000 malah lebih tinggi di kawasan tertentu.
“Kalau buat cukai WPL, ia sepatutnya lebih membawa keuntungan, tetapi, kos ini meningkat dan kita perlu berunding dan lihat kosnya dengan lebih terperinci,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Seminar Tinjauan dan Pandangan Ekonomi Minyak Sawit 2024 di sini hari ini.
Seminar itu bertujuan menyebarkan maklumat berkaitan prestasi industri sawit Malaysia pada 2023, prospek pasaran dan tinjauan harga 2024 serta perkembangan pasaran terkini dalam industri.
Ia menumpukan kepada mekanisasi dan automasi dalam ladang sawit, kesan cabaran global terhadap bekalan dan permintaan minyak sawit serta prospek minyak sawit bertemakan ‘Memenuhi Keperluan Global dengan Minyak Sawit Mampan’.
Pada Oktober tahun lalu, Kementerian Perladangan dan Komoditi mengemukakan cadangan semakan semula WPL bagi Sabah dan Sarawak kepada 1.5 peratus berbanding tiga peratus ketika ini. – UTUSAN