TEHRAN: Iran mengisytiharkan hari Khamis sebagai hari berkabung berikutan letupan berkembar yang membunuh sekurang-kurangnya 103 orang awam berhampiran kubur Jeneral Panglima Qasem Soleimani yang terbunuh dan dianggap wira di selatan negara itu.
Pengumuman itu dibuat menerusi siaran televisyen kerajaan.
“Susulan insiden pengganas di Kerman, kerajaan mengisytiharkan Khamis sebagai hari untuk berkabung awam di seluruh negara,” menurut televisyen berkenaan.
Sementara itu, Presiden Rusia, Vladimir Putin mengucapkan takziah atas kejadian letupan berkembar yang membunuh sekurang-kurangnya 103 orang di Iran berhampiran kubur jeneral Qasem Soleimani.
“Pembunuhan orang awam yang melawat tanah perkuburan adalah mengejutkan dan kejam,” kata Putin dalam surat kepada Presiden Iran, Ebrahim Raisi dan Pemimpin Tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei.-AFP