LUMUT: Seorang lelaki warga Thailand maut ditembak oleh sekumpulan lelaki disyaki warga Indonesia ketika berada di atas bot nelayan di perairan Pantai Remis, tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, polis menerima laporan daripada pemilik bot mengenai kejadian itu pada pukul 12.20 tengah hari semalam.
“Pengadu telah dimaklumkan oleh pekerjanya melalui alat walkie-talkie ketika bot itu dalam perjalanan balik ke pelantar ikan di Pantai Remis,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, ketika tiba di pelantar, mangsa yang bekerja sebagai nelayan didapati telah meninggal dunia dengan kesan tembakan di kepala.
Beliau menjelaskan, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh untuk proses bedah siasat.
Maklum beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu agar menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Azalan Ab. Karim di talian 019-3927837 bagi membantu siasatan polis. – UTUSAN