Lelaki warga Indonesia didakwa bunuh majikan

Lelaki warga Indonesia didakwa bunuh majikan

RUDIANSYAH dibawa ke Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang warga Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh majikannya, bulan lalu.

Tertuduh, Rudiansyah, 25, mengangguk faham sejurus selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Indonesia di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian terhadap Nordin Ong Abdullah, 72.

Perbuatan itu dilakukan antara pukul 10.30 pagi  pada 22 Disember hingga pukul 1.20 pagi pada 27 Disember 2023 di rumah kebun ladang kelapa sawit, Lorong Sidang Hj. Hamid, Paya Rumput Jaya, Sungai Udang dalam daerah Melaka Tengah.

Sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah juga dihukum sebat tidak kurang 12 kali sebatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishar manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah menetapkan 16 Februari ini untuk serahan laporan kimia dan bedah siasat serta tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh.

Sebelum ini, media melaporkan tertuduh dipercayai membunuh majikannya menggunakan tukul besi gara-gara berang dimaki mangsa kerana tidak menyiapkan kerja.

Tertuduh kemudian dikesan melarikan diri ke Klang, Selangor dan bersembunyi di asrama rakannya sebelum diberkas polis kira-kira pukul 4 pagi pada 30 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian itu terbongkar selepas anak mangsa berusia 39 tahun membuat laporan polis susulan tidak dapat menghubungi bapanya.

Beliau berkata, hasil soal siasat suspek mengaku telah membunuh mangsa menggunakan tukul besi kerana berang dimaki lelaki itu ekoran dia tidak menyiapkan kerja.

“Suspek kemudian mengheret si mati masuk ke dalam bilik lalu mengambil barang peribadinya seperti beg dompet, kereta dan telefon bimbit. Dia kemudian memandu kereta mangsa sehingga ke Rembau, Negeri Sembilan sebelum kehabisan minyak dan menaiki bas untuk ke Klang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN