Lelaki tempatan cuba seludup PATI dicekup

Lelaki tempatan cuba seludup PATI dicekup

MPV jenis Proton Exora disewa seorang lelaki tempatan untuk menyeludup tujuh warga Myanmar ke negara ini sebelum ditahan di KM31.4, Lebuhraya PLUS, Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Polis menahan seorang lelaki tempatan kerana cuba menyeludup masuk tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar menggunakan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) disewanya, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, lelaki berusia 29 tahun itu ditahan bersama kesemua PATI berkenaan di Kilometer 31.4, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di sini, pada 2.50 petang.

Katanya, suspek yang merupakan seorang pemandu e-hailing dipercayai datang dari Ipoh, Perak untuk membawa kesemua PATI tersebut ke Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

“Suspek yang berasal dari Menglembu, Perak dipercayai mengambil kesemua PATI tersebut di tepi jalan dekat Felda Bukit Tangga. Dia dipercayai berurusan dengan individu dari Myanmar untuk melakukan kerja itu.

“Difahamkan ini kali kelima dia mengambil upah untuk tugasan tersebut dan menerima bayaran sebanyak RM200 untuk setiap PATI dibawa,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Rodzi berkata, kesemua PATI ditahan terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita berusia antara 20 hingga 45 tahun dengan dua daripada mereka boleh bertutur bahasa Melayu.

“Mereka mendakwa masuk ke negara ini kira-kira pukul 5 pagi, Isnin lalu dengan bantuan dua lelaki Thailand yang bertindak sebagai pemandu arah melalui pagar sempadan di kawasan Bukit Tangga,” katanya.

Polis turut merampas kereta digunakan serta dua telefon bimbit untuk tujuan siasatan di bawah Seksyen 26A Akta Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya