PETALING JAYA : Seorang lelaki kerugian RM619,419 selepas terpedaya dengan pakej permainan Bitcoin ketika berada di rumahnya di Rawang.
Mangsa yang bekerja sebagai pengurus jualan sebuah syarikat itu diperdaya seorang kenalan wanitanya di laman sosial Facebooknya pada 10 Oktober tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, lelaki berusia 51 tahun itu telah berkenalan dengan wanita itu sebelum berkomunikasi melalui aplikasi WhatsApp.
Menurut beliau, mangsa kemudian ditawarkan beberapa pakej permainan bitcoin pada 22 Oktober tahun lalu.
“Mangsa berminat tetapi tidak mempunyai wang untuk memulakan permainan.
“Suspek kemudian menawarkan kepada mangsa untuk membuka akaun permainan dan mendapat AS$1,000 (RM4,646) secara percuma,” katanya di sini hari ini.
Ramli berkata, selepas itu, suspek mengajar pengadu cara bermain dan menang serta mendapat keuntungan yang berganda.
“Namun semua tindakan pelaburan dilakukan oleh suspek sahaja, pengadu hanya boleh nampak keuntungan melalui gambar yang dihantar oleh suspek tanpa ada akses kepada apa apa laman sesawang pelaburan bitcoin tidak wujud itu.
“Mangsa juga membuat bayaran ke 15 akaun bank yang berbeza dengan 25 kali transaksi ke akaun sehingga mengalami kerugian sebanyak RM619,419,” jelasnya.
Beliau berkata, mangsa yang ditipu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Rawang pada 5 Januari lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN