Lelaki Pakistan didakwa rogol, rompak wanita di Stesen KTMB Serdang

Lelaki Pakistan didakwa rogol, rompak wanita di Stesen KTMB Serdang

Muhammad Mudasar (kanan) dan Muhammad Waqas dibawa oleh anggota polis ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya bagi menghadapi pertuduhan merogol dan merompak. UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang penganggur warganegara Pakistan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol dan merompak seorang wanita tempatan di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Serdang, dua minggu lalu.

Muhammad Mudasar, 23, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Urdu di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh. Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol wanita berusia 29 tahun menyebabkan mangsa dalam ketakutan, kematian atau kecederaan kerana diacu sebilah pisau.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jejantas KTM Serdang jam 12.45 tengah malam pada 14 Januari lalu. Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga sebatan.

Selain merogol, Muhammad Mudasar turut didakwa merompak telefon bimbit jenis Iphone SE dan wang tunai sebanyak RM80 milik mangsa sama bersenjatakan sebilah pisau.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebatan. Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Pada prosiding itu, Muhammad Mudasar turut didakwa bersama-sama rakan senegaranya, Muhammad Waqas, 29, kerana melakukan rompak berkumpulan terhadap seorang lagi wanita berusia 20 tahun.

Mereka didakwa merompak dua telefon bimbit masing-masing jenis Samsung dan Iphone dengan menggunakan pisau pukul 11.15 malam pada 30 Disember 2023 di tempat sama.

Syahliza kemudian menetapkan 26 Februari ini bagi fakta dan jatuh hukum untuk Muhammad Mudasar dan tarikh sama bagi sebutan kes Muhammad Waqas.Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Hakimah Ibrahim manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita tempatan yang bekerja sebagai jurujual pusat beli-belah disamun serta dirogol oleh seorang lelaki Pakistan di jejantas KTMB Serdang, Seri Kembangan, di sini, pada tengah malam Ahad.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A Anbalagan berkata, mangsa bertindak membuat laporan polis pada hari sama kira-kira pukul 3.05 pagi. Menurut laporan, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya berjalan kaki di jejantas berkenaan sebelum telefon bimbitnya disamun kemudian dirogol dengan diacukan pisau oleh seorang suspek pukul 12.40 tengah malam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN