TAPAH: Seorang lelaki Orang Asli ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah kereta di Jalan Batu 23, Jalan Pahang di sini semalam.
Mangsa dikenali sebagai Bading Bah Yek berusia 59 tahun.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 10.04 malam.
Katanya, kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga yang musnah terbakar dianggarkan sebanyak 50 peratus.
“Ketika anggota dan jentera tiba di lokasi kejadian, kebakaran kereta itu telah pun dipadamkan oleh orang awam.
“Terdapat seorang lelaki Orang Asli berada di tempat duduk belakang dan mangsa berusia 50 tahun itu ditemukan dalam keadaan rentung,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, ketua operasi segera menjalankan penilaian risiko di lokasi kejadian dan mengambil maklumat sebelum membantu mengeluarkan mayat mangsa.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada pukul 11.36 malam,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd. Naim Asnawi berkata, mayat mangsa dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
“Lokasi kejadian merupakan kawasan kampung Orang Asli di Batu 23. Setakat ini, kita buka siasatan mati mengejut sehingga mengetahui punca kematian berdasarkan proses bedah siasat nanti,” katanya. – UTUSAN