PETALING JAYA: Seorang wanita diganggu oleh seorang lelaki penunggang motosikal yang berkelakuan tidak senonoh, ketika sedang beriadah di sekitar Damansara Damai.
Menurut perkongsian video oleh @nurananajihah di aplikasi TikTok, dia sedang berjoging seorang diri sebelum ternampak ada seorang lelaki berlegar di sekitarnya dengan motosikal.
Menerusi video berdurasi 45 saat yang tular di media sosial itu, lelaki berkenaan tiba-tiba memberhentikan motosikalnya berdekatan Nurana dan mula bertanyakan soalan.
Katanya, selepas menjawab soalan lelaki tersebut, dia terus beredar namun disapa sekali lagi sebelum lelaki tersebut mula berkelakuan tidak senonoh.
“Selepas itu, dia datang lagi, empat round dia pusing tempat sama. Kemudian dia berhentikan motosikal di depan saya.
“Perlahan-lahan dia buka seluar, rupanya dia nak onani. Seram sangat,” katanya menerusi perkongsian video.
Dalam pada itu, warganet yang prihatin turut meninggalkan pesanan di ruangan komen.
“Akak duduk sini 15 tahun, sekarang ni dah banyak kes, memang rasa tidak selamat. Kalau nak joging tu biarlah berteman. Hati-hati semua,” tulis @annaliron.
“Jaga diri, awak. Damai itu dari dulu memang scary. Teruskan update pada orang terdekat kalau nak pergi mana-mana,” kata @mommy.dian.
“Dah bertahun duduk sini, tiba-tiba kebelakangan ni banyak kes bukan-bukan,” komen @rabbanibinrosalan. – UTUSAN