KUALA LANGAT: Seorang penumpang sebuah trak pikap jenis Chevrolet maut selepas dilanggar sebuah lori dalam kejadian kemalangan dekat Kilometer (KM) 21.6 Lebuhraya Lingkaran Hubungan Tengah (Elite) arah utara, pada awal pagi semalam.
Lelaki berusia 37 tahun itu maut ditempat kejadian akibat tercampak ke tengah jalan susulan pelanggaran tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 pagi itu, pemandu trak terbabit memberhentikan kenderaannya di lorong kecemasan kerana keletihan.
Menurutnya, kemudian pemandu berkenaan meminta mangsa memandu trak itu bagi menggantikannya.
“Ketika mangsa keluar dari kenderaannya dan menuju ke arah tempat duduk pemandu, dia tiba-tiba dilanggar oleh lori yang memandu di lorong kiri dalam arah sama ketika sedang membuka pintu.
“Akibat hentaman tersebut, mangsa tercampak ke lorong tengah, sementara lori terbabit terus hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang kiri belakang kereta jenis Perodua Axia yang kebetulan berada di lorong tengah,” katanya, hari ini.
Jelasnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu trak, lori dan kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Saksi bebas atau yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diseru menghubungi mana-mana balai polis yang berhampiran.
“Atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, Inspektor Mazrol Mohd. Zin di talian 011-18539116 atau 03-3187222,” ujarnya. – UTUSAN