KEMAMAN : Seorang lelaki direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kejadian langgar anggota polis ketika mengelak sekatan jalan raya, di Jalan Limbong, Bandar Chukai, di sini, petang semalam.
Perintah reman itu dibenarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin bagi membolehkan pihak polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Suspek yang berusia 26 tahun itu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret kira-kira pukul 8.40 pagi dengan diiringi polis.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 petang semalam, seorang anggota polis berpangkat sarjan cedera selepas dilanggar suspek yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC ketika mengadakan sekatan jalan.
“Suspek bertindak memecut laju motosikalnya ketika anggota polis itu cuba menahannya untuk pemeriksaan dan menyebabkan anggota polis itu cedera di bahagian tangan.
“Bagaimanapun, tindakan pantas anggota polis yang turut berada di lokasi kejadian, berjaya menahan suspek,” katanya.
Hanyan berkata, hasil pemeriksaan mendapati, motosikal yang ditunggang suspek tamat tarikh cukai jalan dan telah dilakukan pengubahsuaian yang tidak mengikut spesifikasi yang dibenarkan. – UTUSAN