PASIR MAS: Seorang lelaki kudung kedua belah kakinya mahu manfaatkan bantuan motosikal elektrik yang diterima untuk berulang-alik solat berjemaah di masjid setiap waktu.
Ibrahim Deris, 42, yang kudung kaki sejak lahir berkata, setiap kali mahu menunaikan solat Jumaat dia terpaksa menumpang motosikal rakannya Mahadi Ismail, 45.
“Setiap kali nak ke masjid yang jaraknya dua kilometer, kawan saya akan jemput dengan motosikalnya. Kali ini saya boleh pergi sendiri masjid kerana sudah memiliki motosikal sendiri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banggol Setol selepas menerima sumbangan motosikal elektrik dari Yayasan Raja Shamri (YSR) hari ini.
Ibrahim yang juga peniaga memberitahu, dia akan menggunakan motosikal tersebut bagi membeli barangan jualan.
Katanya, dengan adanya kemudahan itu segala urusan yang tergendala sebelum ini akan berjalan lancar.
“Terima kasih kepada YRS di atas keprihatinan membantu OKU seperti saya ini,” ujarnya. – UTUSAN