PETALING JAYA: Polis menahan reman seorang individu dipercayai terlibat dalam kes dua beradik dikurung yang dilaporkan hilang selepas keluar dari kediaman mereka di Taman Bernam Jaya di sini sejak 1 Januari lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang remaja berusia 16 tahun kira-kira 2.48 pagi pada 12 Januari lalu berkenaan kes cabul dan diliwat seorang individu di sebuah hotel di Jalan Sultan dekat sini.
Katanya, bertindak atas maklumat, risikan pihak polis berjaya menahan individu berusia 42 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut di hadapan sebuah hotel di lokasi kejadian.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana melalukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Individu yang ditahan direman selama tujuh hari bermula 13 Januari hingga 19 Januari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Allaudeen menegaskan, dalam siasatan kes ini, pihak polis mendapati remaja lelaki tersebut bukan diculik sebagaimana dilaporkan.
Sebaliknya, jelas beliau, dia telah keluar dari rumah di Hulu Bernam, Selangor dan terdapat siasatan dijalankan berhubung kes kehilangan remaja berkenaan.
“Siasatan kes ini masih berjalan dan pihak polis menyeru orang ramai untuk memberikan kerjasama dan menyalurkan maklumat berhubung kejadian ini.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui Hotline Polis Kuala Lumpur di atas talian 03- 21159999 atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran,” katanya.
Terdahulu, Utusan Online melaporkan remaja daripada dua beradik lelaki dilaporkan hilang bersama adiknya pada 1 Januari lalu mendakwa dikurung dalam sebuah motel di Jalan Petaling dekat sini oleh individu tidak dikenali.
Malah, remaja berusia 17 tahun itu mendakwa selama dikurung bersama adiknya selain diperlakukan tidak baik sebelum dipisahkan pada 9 Januari lalu.
Bagaimanapun, remaja tersebut berjaya melarikan diri sebelum ditemukan dalam keadaan tidak bermaya di Stesen LRT Pasar Seni dekat sini pada malam, 11 Januari lalu.- UTUSAN