KUALA NERUS: Seorang lelaki mendakwa mengalami kecederaan di kepala selepas dipukul ketika perlawanan bola sepak di Kompleks Sukan Gong Badak dekat sini, petang semalam.
Ronny Irwan Husni, 46, berkata, dia yang juga pegawai salah satu pasukan terlibat berada di bangku simpanan pemain sebelum pergaduhan tercetus menuju tamat permainan.
Menurutnya, dia segera bergegas ke arah sekumpulan pemain itu untuk meleraikan kekecohan namun mendakwa dia turut menjadi mangsa apabila dipukul dan disepak individu tidak dikenali.
“Ketika itu situasi memang agak tegang lalu berlaku insiden tumbuk-menumbuk sesama pemain di kawasan gol dan kekecohan itu berlaku terlalu pantas tidak sampai lima minit.
“Anak saudara saya antara yang terlibat, jadi saya tidak sampai hati melihat dia menjadi mangsa dan itu menyebabkan saya meluru ke arah mereka untuk meredakan keadaan sebelum bertambah buruk.
“Namun tiba-tiba ada individu datang dari arah belakang menerajang saya sehingga rebah malah ada yang memukul serta menyepak menggunakan kasut bola,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurut Ronny, susulan daripada kejadian itu dia dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi mendapatkan rawatan.
Katanya, dia terpaksa ditahan di wad selepas mengalami kecederaan dan luka di bahagian kepala, muka dan mata serta lebam di anggota badan lain.
“Saya akan membuat laporan polis sebaik dibenarkan keluar hospital namun difahamkan beberapa rakan anak saudara telah membuat laporan,” tambahnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Wan Mohd. Zaki Wan Ismail, mengesahkan pihaknya menerima satu laporan berkaitan kejadian berkenaan.
Katanya, beberapa individu telah dikenal pasti dan akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat dengan kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan (KK).
Terdahulu, tular di Facebook dan X dua klip video berdurasi 43 dan 22 saat memaparkan kekecohan antara pemain serta penyokong selain insiden seorang lelaki dipercayai yang sudah terjatuh turut disepak.
Kejadian itu dikatakan berlaku ketika perlawanan Liga Bola Sepak Terengganu (TFL) 2023 melibatkan perlawanan dua pasukan di Padang Sintetik, Kompleks Sukan Gong Badak dekat sini. – UTUSAN