PADANG BESAR: Demi mengaut keuntungan berganda, seorang lelaki sanggup menyeludup masuk dadah jenis ganja dari negara jiran di laluan tikus Malaysia-Thailand sebelum diberkas sepasukan anggota polis di Kampung Melayu di sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 7.20 pagi itu, sepasukan pegawai dan anggota yang sedang melakukan tugasan Ops Tapis Khas ternampak seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan pada jarak 100 meter pagar sempadan negara.
Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Baderulhisham Baharudin berkata, pemuda warga tempatan berusia 23 tahun itu ketika itu sedang berjalan kaki seorang diri dengan membawa sebuah kotak.
“Suspek yang bekerja sendiri itu kemudiannya segera mencampakkan kotak yang ada bersamanya sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa di kawasan tersebut.
“Dia kemudiannya cuba melarikan diri ke arah negara jiran menerusi laluan tikus tersebut namun tindakannya gagal selepas berjaya diberkas anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Padang Besar,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Padang Besar di sini hari ini.
Menurut Baderulhisham, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 11 ketulan mampat daun kering dalam plastik lutsinar dan lima lagi ketulan mampat dibalut kertas timah dipercayai dadah jenis ganja di dalam kotak tersebut di dalam kotak tersebut.
“Siasatan awal mendapati suspek mengambil bekalan dari pembekal di negara jiran untuk diedarkan kepada pembeli di selatan negara ini dan bergiat aktif sejak November tahun lalu.
“Dalam kes ini, polis turut merampas 16 ketulan mampat daun kering dipercayai dadah jenis ganja dengan anggaran berat 16 kilogram bernilai RM49,600,” jelasnya.
Tambahnya, dadah yang dibawa masuk itu dibeli pada harga RM600 sekilogram di negara jiran nilai pasaran tempatan adalah RM3,100 serta mampu digunakan 32,000 penagih.
Katanya lagi, keputusan ujian air kencing menunjukkan suspek positif dadah jenis syabu dan mempunyai tiga rekod lampau berkait kes narkotik.
Suspek direman tujuh hari bermula 24 Januari sehingga 30 Januari depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-UTUSAN