SHAH ALAM : Kira-kira 10,, 000 pengunjung hadir hadir Program Darul Ehsan Berselawat 3.0 sebagai menyambut Tahun Baru 2024 di pekarangan Stadium Shah Alam, malam tadi.
Program yang bermula seawal 2 petang sehingga 12 tengah malam itu diselitkan pelbagai aktiviti seperti qasidah, tausiyah, solat berjemaah dan sesi bual bicara.
Meskipun hujan yang turun sekali-sekala sepanjang program, peserta program dilihat tidak berganjak daripada tempat duduk penonton, yang terletak berdekatan dengan pentas utama.
Kesemua peserta dilihat turut serta berqasidah yang dipimpin oleh beberapa ustaz jemputan.
Tidak ketinggalan ada yang turut mengibarkan bendera Palestin, sebagai tanda sokongan terhadap rakyat negara itu yang kini ditindas oleh tentera rejim Zionis.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta isterinya, Datin Seri Masdiana Muhamad hadir bagi memeriahkan program selawat itu.
Amirudin dalam program itu berkata, jumlah kehadiran pada program kali ini lebih ramai daripada Program Darul Ehsan Berselawat sebelum ini.
“Insya-Allah, kerajaan negeri akan menganjurkan Program Darul Ehsan Berselawat di semua daerah dalam Selangor.
“Kita mahu menukar cara kita menyambut ambang tahun baru, kepada program keagamaan, sebagai tanda terima kasih kepada Allah yang melimpahkan pelbagai rezeki di negeri bertuah ini,” ujarnya.
Seorang pengunjung, Ahmad Idris Ahmad Lutfi, 40, berkata, ini kali kedua dia menyertai program tersebut setelah kali pertama hadir pada program sama tahun lalu.
Menurutnya, dia lebih berminat untuk menghadiri program berunsur kerohanian berbanding program sambutan ambang tahun yang berkonsepkan hiburan semata-mata.
“Malaysia kini sedang diuji pelbagai ujian daripada Allah. Jadi, lebih baik hadir program berunsur keagamaan dengan harapan Allah akan bantu negara kita menjadi lebih baik pada tahun hadapan.
“Harap kerajaan negeri teruskan program sama supaya lebih ramai Muslim di Selangor lebih mendekati agama Islam,” katanya yang hadir dari Kuala Selangor. –UTUSAN