TEMERLOH: Lebih 10,000 rakyat Pahang dijangka hadir bagi melepaskan rindu menyambut keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 30 Januari ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri telah beberapa kali mengadakan perbincangan dan mesyuarat bagi mengatur kerja demi memberikan sambutan terbaik kepada raja kesayangan rakyat Pahang itu.
“Rakyat akan berpeluang menyambut keberangkatan pulang baginda di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, sepanjang jalan ke Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Jalan Teluk Sisik, Kuantan.
“Majlis meriah dengan pelbagai acara tradisi diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah yang dihadiri kaum kerabat, ketua jabatan dan pelbagai golongan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan alat tulis kepada 70 calon Sijil Pelajaran Malaysia Sekolah Menengah Kebangsaan Lanchang di sini hari ini.
Menurutnya, antara program lain diaturkan ialah tahlil, Karnival Rakyat Pahang, Perarakan Kereta Berhias, persembahan kebudayaan dan program mencemar duli ke daerah-daerah di negeri ini.
Beliau berkata, Setiausaha Kerajaan Negeri membuat jemputan khas kepada ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan termasuk orang ramai.
Katanya, rakyat sangat merindui Seri Paduka yang mesra rakyat dan sentiasa peka dengan kebajikan rakyat dalam pelbagai situasi.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar mengucapkan terima kasih kepada Utusan Malaysia kerana memberi peluang kepadanya untuk menjadi ‘wartawan’ dengan menyiarkan rencana tulisannya bertajuk ‘Agong payung menyatukan rakyat’.
Menurut beliau, rencana yang ditulisnya itu sebagai manifestasi kekaguman terhadap Seri Paduka yang berjaya meletakkan institusi Diraja bertepatan slogan ‘Rakyat dan Raja Berpisah Tiada’.
Tambah beliau, selaku Menteri Besar, ketua pentadbir negeri sangat berbangga dengan kehebatan dan kewibawaan Seri Paduka memerintah selama lima tahun dengan penuh gemilang dan terbilang. – UTUSAN