GUA MUSANG: Pengguna jalan raya antara Gua Musang-Kuala Krai sejauh lebih 117 kilometer di sini berdepan bahaya apabila terdapat lebih 100 lubang yang boleh menjadi perangkap maut, selain mengakibatkan kerosakan pada kenderaan.
Seorang pengguna jalan yang juga mangsa kepada keadaan jalan di laluan itu, Hafizee A. Hamid, 46, berkata, dia bersama isteri dan dua anak berdepan situasi cemas selepas tayar hadapan kenderaannya pecah akibat terlanggar lubang di tengah jalan.
Menurutnya, semasa kejadian, mereka dalam perjalanan melalui Jalan Gua Musang-Kuala Krai untuk pulang ke rumah mereka di Kuala Lumpur.
“Kami sekeluarga sangat terkejut dan segera memberhentikan kenderaan dan apabila diperiksa, mendapati tayar sudah pecah tayar manakala rim juga rosak. Saya terpaksa menunggu trak tunda untuk membawa kereta ke bengkel.
“Saya harap pihak berwajib dapat mengambil tindakan segera supaya membaiki jalan rosak ini. Jangan tunggu tayar pecah langgar lubang di atas jalan itu dan pengguna masuk gaung sehingga meninggal dunia baru nak ambil tindakan,” katanya.
Hafizee memberitahu, keadaan itu menyebabkan dia perlu menanggung kerugian kerana perlu menukar rim dan tayar akibat kejadian itu.
Seorang pemilik bengkel, Aszeri Awang, 35, memberitahu, sepanjang tempoh dua minggu bermula cuti sekolah, lebih 60 kenderaan pengguna mengalami masalah tayar pecah dan bocor ketika melalui jalan tersebut singgah di bengkelnya.
Katanya, kini dia terpaksa beroperasi selama 24 jam setiap hari.
“Kebanyakan kenderaan yang mengalami masalah tayar bocor adalah di laluan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh, Felda Chiku dan Kem Semur,” ujarnya.
Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim berkata, beliau akan buat aduan rasmi kepada Menteri Kerja Raya selepas dimaklumkan beberapa kes kemalangan telah berlaku.
“Saya nasihatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati sewaktu memandu terutama waktu hujan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini disebabkan struktur jalan yang berlopak dan berlubang,” ujarnya.-UTUSAN