Lawatan Timbalan Menteri ke Sabah tumpu isu keselamatan, kebajikan anggota tentera

Lawatan Timbalan Menteri ke Sabah tumpu isu keselamatan, kebajikan anggota tentera

ADLY Zahari bersalam dengan anggota keselamatan yang bertugas melaksanakan OP PASIR di Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Isu keselamatan dan keperluan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam memastikan kesiapsiagaan dan kedaulatan sempadan negara antara agenda utama lawatan kerja Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari ke kawasan operasi di Sabah dan Labuan baru-baru ini.

Lawatan selama lima hari bermula 23 Januari lalu turut melibatkan tinjauan projek pembangunan dan kerja menaik taraf kem tentera yang dilaksanakan kementerian itu demi kemudahan dan kebajikan anggota keselamatan negara.

Adly berkata, beberapa aspek diberikan keutamaan pada tahun ini untuk tujuan itu selaras peningkatan bajet kementerian seperti penambahbaikan sistem radar serta sistem komunikasi dan pos kawalan di sempadan.

Katanya, kerajaan akan melihat pos pengoperasian bagi memastikan keperluan Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia dan Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2)dapat dipenuhi.

“Kita berharap Kementerian Pertahanan dapat melaksanakan tugas supaya kawasan sempadan sentiasa terpelihara di samping kedaulatan serta keselamatan rakyat dan negara dapat dijaga,” katanya sempena lawatan kerja itu.

Dalam pada itu, menurut Adly, pihaknya juga memberi fokus terhadap kesiapsiagaan OPERASI PASIR (OP PASIR) di wilayah pantai timur Sabah.

“Kita telah mendapat taklimat dan penerangan daripada Pusat Kawalan Maritim, ATB 2 untuk melihat aktiviti pengawasan sempadan negara yang menjadi keutamaan keselamatan.

“Saya turut melihat Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah kerana kita sudah meningkatkan tarafnya menjadi pangkalan hadapan pasukan keselamatan,” katanya

ADLY Zahari bersama anggota keselamatan yang bertugas melaksanakan OP PASIR di Pos Pulau Danawan sempena lawatan kerja beliau ke kawasan operasi di Sabah.

Terdahulu, Adly membuat tinjauan di pos-pos kawalan Op Pasir serta kawasan operasi kawalan sempadan negara di Sabah-Sarawak-Kalimantan dan Kerjasama Trilateral Cooperation Arrangement (TCA) membabitkan Malaysia, Filipina dan Indonesia.

TCA iaitu kerjasama sub serantau antara Malaysia, Filipina dan Indonesia bertujuan menjalankan rondaan, memberi bantuan segera kepada orang dan kapal yang memerlukan, serta mewujudkan hotline komunikasi bagi memudahkan koordinasi semasa situasi kecemasan dan ancaman keselamatan di Area of Maritime Interest (AMI) melibatkan kawasan Laut Sulu dan Laut Sulawesi.

Adly turut meninjau ke tapak projek Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) ATB 2 di Kem Kukusan yang sedang dilaksanakan pembinaan sebanyak 144 unit rumah bermula pada awal September 2021 dan dijangka siap pada Julai tahun ini.

Jelasnya, pemantauan projek yang berterusan adalah penting bagi memastikan objektif untuk menyediakan kemudahan kepada anggota ATM dapat dicapai dalam tempoh yang ditetapkan.

“Antara projek pembangunan yang sedang dilaksanakan di pantai timur Sabah adalah pembinaan Kem Tentera Darat di Felda Sahabat di Lahad Datu, naik taraf pagar keselamatan di Pangkalan KD Sri Semporna, pembinaan Jeti MAWILLA 2, Sandakan serta RKAT tambahan pelbagai kelas sebanyak 187 unit di Kem Kabota, Tawau,” katanya.

Dalam lawatan itu, Adly turut mengadakan tinjauan di beberapa kawasan pos pengoperasian OP PASIR Selatan iaitu Pulau Danawan, Pulau Sipadan, Kapalai dan Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah.

SESI ramah mesra Adly Zahari dengan warga Markas 5 Divisyen Infantri,
Kem Lok Kawi.

Katanya, objektif lawatan itu bagi melihat sendiri pengoperasian dan kebajikan anggota-anggota ATM yang menjalankan tugas di pos-pos kawalan dan pangkalan hadapan sempadan negara.

Adly berkata, sebanyak enam projek pembangunan di kem tentera di sepanjang pantai barat Sabah dan Labuan dilaksanakan bagi meningkatkan kebajikan anggota tentera dan mewujudkan persekitaran yang kondusif.

Projek terlibat adalah di Kem 5 Briged dan Kem 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Kota Belud; 1,036 unit RKAT pelbagai kelas di pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Kota Kinabalu; 633 unit RKAT di Kem Paradise Kota Belud bagi 5 Briged dan 19 RAMD; bangunan tambahan bagi Wisma Laskar di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK); dan 513 unit RKAT pelbagai kelas di Kem Lok Kawi serta pembinaan perumahan RKAT PU Labuan (123 unit).

“Tujuan lawatan ini adalah untuk mendapatkan taklimat mengenai projek pembangunan berkenaan dan menilai kesediaaan serta kecekapan aset dan anggota tentera.

“Lawatan ini penting bagi memastikan perancangan pertahanan dan kesiapsiagaan ATM sentiasa diperkemas dan diperkukuhkan bersesuaian dengan strategi pertama yang digariskan oleh Menteri Pertahanan iaitu meneruskan proses pemodenan kelengkapan dan aset ketenteraan,” katanya.

Dalam lawatan ke Tentera Darat di Markas 5 Div, Kem Lok Kawi, Adly turut meninjau kemudahan serta perkembangan pembinaan RKAT tambahan pelbagai kelas di kem terbabit selain meluangkan masa beramah mesra untuk memahami sendiri keperluan kebajikan dan sistem sokongan warga kem tersebut.

Beliau turut meninjau kerja menaik taraf Aerodrome di Stesen Udara Kota Kinabalu dan infrastruktur di Pulau Layang-Layang serta Kapal Misi Pesisir (LMS) di Pangkalan TLDM Sepanggar.

Sementara itu, Adly berkata, Labuan telah dilengkapi dengan radar pengawasan jarak jauh Lockheed Martin TPS-77 sejak Disember lepas, menggantikan radar Alenia yang telah dinyahaktifkan.

Katanya, radar baharu di TUDM Bukit Kubong itu akan meningkatkan pertahanan negara.

Malah katanya, kementerian juga akan terus menaik taraf aset sedia ada dan memperkenalkan teknologi baharu bagi memenuhi keperluan pertahanan negara yang semakin berkembang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN