Laungan Azan iringi keberangkatan balik Agong, Raja Permaisuri

Laungan Azan iringi keberangkatan balik Agong, Raja Permaisuri

AL-Sultan Abdullah melambai tangan dalam Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong Ke-16 di Istana Negara.-GAMBAR/JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suasana hiba menyelubungi Istana Negara apabila laungan azan mengiringi keberangkatan balik Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Laungan azan itu disempurnakan Penolong Pegawai Agama Istana Negara, Mohd. Zuhairee Mohd Yatim sebelum Seri Paduka berdua berangkat dari Istana Negara.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kemudian berangkat menuju ke Dataran Parlimen bagi menyertai istiadat rasmi perpisahan sambil melambai kepada semua para petugas istana yang berbaris sepanjang laluan ke pintu utama.

Di Parlimen, keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, barisan Menteri Kabinet dan tetamu-tetamu lain.

Lagu Negaraku dimainkan Pasukan Pancaragam Pusat Regimen Askar Melayu Diraja serentak dengan 21 das tembakan meriam daripada pasukan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja Istiadat dan Yang di-Pertuan Agong turut berkenan melakukan Kawalan Kehormatan Utama.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kemudian berkenan bersalaman dengan semua anggota Jemaah Menteri, menteri besar dan ketua menteri, ahli-ahli Parlimen dan perwakilan asing.

Sejurus istiadat di Parlimen selesai, Seri Paduka berdua berkenan melalui laluan di Jalan Parlimen sehingga ke arah Bulatan Dato Onn untuk bertemu ribuan rakyat yang menanti melakukan lambaian kasih kepada pasangan diraja itu.

Lebih 3,500 rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk penjawat awam dan kakitangan swasta berbaris di kiri dan kanan jalan memberikan lambaian bagi mengucapkan selamat jalan kepada Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah.

Pasangan diraja itu seterusnya berangkat balik dari Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10 pagi sebelum berlepas pulang ke pangkuan rakyat Pahang.

Pada hari ini, Al-Sultan Abdullah menamatkan pemerintahan selepas memenuhi tempoh lima tahun di atas takhta sebagai Ketua Utama Negara bermula 31 Januari 2019.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kewibawaan Al-Sultan Abdullah sebagai Ketua Negara terserlah apabila berjaya merungkai kemelut politik negara dan menggagaskan sebuah Kerajaan Perpaduan.

Katanya, usaha Seri Paduka itu berjaya mencetuskan kestabilan dan memungkinkan untuk mengangkat semula darjat dan martabat negara ini ke tingkat tertinggi.

Katanya, pemerintahan Seri Paduka yang merakyatkan dan disulami hikmah keadilan serta kebijaksanaan tentunya dikenang rakyat keseluruhannya yang menikmati limpahan keamanan dan kesejahteraan sepanjang tempoh baginda bersemayam di atas takhta selama lima tahun.

“Menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah,” katanya dalam Facebook beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya