PETALING JAYA: Pengambilan secara lantikan kontrak membabitkan penjawat awam bermula 1 Februari ini adalah langkah bersifat sementara ke arah pelaksanaan kaedah baharu lantikan tetap yang melibatkan pindaan akta berkaitan.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu kenyataan memaklumkan, pegawai menerusi lantikan kontrak (interim) itu akan dilantik secara tetap menerusi kaedah baharu di bawah sistem saraan perkhidmatan awam selepas ia dimuktamadkan kelak.
“Kerajaan pada 12 Julai 2023 telah memutuskan supaya suatu kaedah baharu bagi lantikan tetap pegawai awam diperkenal ke arah mengukuhkan lagi sistem saraan perkhidmatan awam. Keputusan ini diambil adalah bagi memastikan kemampanan kewangan kerajaan bagi jangka masa panjang,” katanya.
Bagaimanapun, JPA berkata, lantikan ke jawatan tetap itu tertakluk kepada prestasi dan perakuan ketua jabatan selanjutnya.
“Pelantikan ini adalah berdasarkan peraturan dan dasar semasa yang berkuat kuasa iaitu Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Urusan Perkhidmatan (UP) termasuk penetapan gaji dan kemudahan.
“Semoga penambahbaikan terhadap sistem saraan perkhidmatan awam ini dapat memacu kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam serta menjaga kebajikan penjawat awam selari dengan aspirasi Malaysia Madani,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan bahawa satu pekeliling bertarikh 15 Januari dikeluarkan berhubung kaedah lantikan baharu tersebut yang dijangka dapat mengurangkan tanggungan fiskal negara dalam tempoh jangka panjang.
Bagaimanapun, ia kini dalam fasa pindaan kepada undang-undang berkaitan dan penambahbaikan terhadap kesediaan sistem terlibat.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, usaha tersebut selaras dengan komitmen negara dalam menangani isu peningkatan tanggungan pencen.
Menurut beliau, keputusan pelantikan kontrak tersebut berkuat kuasa mulai 1 Februari dan penggunaan kaedah baharu dalam lantikan penjawat awam dibuat selepas jemaah menteri bermesyuarat pada 12 Julai lalu.
“Susulan penetapan kaedah lantikan tetap baharu tersebut, jemaah Menteri juga telah bersetuju supaya dalam penguatkuasaan kaedah tersebut, pengambilan pegawai awam ke perjawatan tetap akan dilaksanakan secara lantikan kontrak (COS) berkuat kuasa mulai tahun 2024.
“Kaedah pelaksanaan lantikan kontrak ini adalah mengikut peraturan, pekeliling perkhidmatan dan kaedah semasa yang sedang berkuat kuasa iaitu MyPPSM Ceraian UP.1.1.1 Prosedur dan Dasar Pelantikan Secara Kontrak (Contract of Service).
“Dalam hal ini, lantikan kontrak (COS) yang dimaksudkan adalah lantikan kontrak Objek Sebagai (OS) 11000,” katanya. – UTUSAN