PETALING JAYA: Polis hari ini merakam keterangan empat individu bagi membantu siasatan berhubung gerakan ‘Langkah Dubai’ yang dikatakan bertujuan menjatuhkan Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kesemua individu itu merupakan Badrul Hisham Shaharin atai dikenali di media sosial sebagai Che’Gu Bard, Wan Muhammad Azri (papagomo), Salim Iskandar dan Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti), Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Datuk Ismail Yusop.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kesemua individu tersebut dipanggil untuk memberi keterangan hari ini bagi membantu siasatan.
“Ia melibatkan tiga individu yang sebelum ini dikenal pasti serta seorang lagi individu lain.
“Sehingga kini, pihak polis menerima 145 laporan polis daripada pelbagai pihak di seluruh negara,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Selasa lalu, media melaporkan polis akan memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan berkaitan Langkah Dubai selepas mereka didapati menggunakan media sosial sebagai platform untuk berbicara mengenai isu berkenaan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, beberapa pemimpin parti politik juga akan dipanggil untuk beri keterangan.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan.
Berikutan itu, katanya polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 124(c) Kanun Keseksaan kerana cubaan untuk melakukan aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen.
“Selain itu, ia boleh disimpulkan sebagai aktiviti yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam dan menimbulkan keresahan.
“Saya boleh beri jaminan bahawa situasi negara ketika ini stabil dan polis telah pun membuat persediaan sekiranya ia (Langkah Dubai) menjejaskan ketenteraman awam negara,” katanya.
30 Disember lalu, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) J-Kom, Ismail dilaporkan mendakwa “Langkah Dubai” timbul sewaktu percutian beberapa pemimpin pembangkang dan tokoh-tokoh daripada pihak kerajaan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).- UTUSAN