MENYINGKAP tirai kerjaya seni pelakon berusia 29 tahun ini, entah mengapa, nama Adriana Adnan seakan tidak terkehadapan berbanding rakan artis seangkatan lain yang mencipta populariti satu era dengannya.
Apakah Adriana ini tidak pandai mencipta kontroversi? Maklum sahajalah, ada yang berpendapat, kalau seseorang itu mahu memecut laju bergelar artis dan selebriti popular, senjata mudah adalah dengan bijak mencipta kontroversi panas supaya nama disebut-sebut dan diingat-ingat orang.
Pun begitu, sedikit pun kata setuju tidak terbit daripada mulut Adriana tentang itu.
Baginya, cara itu mungkin menjadi pilihan artis lain namun tidak buat dirinya sekali pun dia mendahagakan namanya untuk dijulang tinggi di gelanggang seni dan dunia glamor.
Meletakkan maruah diri dan keluarga di tangga teratas, kata Adriana, itu adalah keutamaannya yang diikat sebagai janji sejak kali pertama menjejakkan kaki dalam industri seni.
“Kalau tak ada kontroversi lambat naik ke? Saya tak kir begitu. Sebabnya, saya sendiri yang memang tak nak benda begitu. Saya ada keluarga, ada ibu bapa, suami, datuk dan nenek di kedua-dua belah keluarga juga masih ada. Mereka pula jenis yang suka tengok TV dan sentiasa mengambil tahu hal saya.
“Memang lagilah saya tak nak terjebak dengan sebarang masalah. Diri sendiri pun bukannya suka dengan drama atau terpalit dengan sebarang gosip. Buat apa nak serabutkan hidup dengan hal yang merepek. Lebih baik saya pilih jalan hidup yang tenang sahaja,” katanya.
Kongsi Adriana lagi, dia juga adakala hairan melihat segelintir artis kelihatan suka dengan ‘drama’ atau kontroversi dalam hidup kerana secara peribadi, dia menganggap keadaan itu bagaikan begitu menyesakkan diri.
“Malah, saya juga pelik, yang suka buat kontroversi, ada macam-macam gosip, itulah yang dipanggil untuk dapat tawaran dan yang banyak keluar TV. Jujurnya, saya pun kecewa juga dengan keadaan itu.
“Tetapi, sesekali kir, mungkin Allah SWT yang sudah aturkan jalan cerita mereka macam itu, mereka naik dan cepat popular dengan cara itu manakala saya pula, laluannya tak mudah sebab tiada kontroversi.
“Namun, lebih baik lambat naik tanpa kontroversi sebab saya pun tak nak maruah tercalar dengan cerita tak baik. Saya juga faham, orang kata bad publicity is still publicity. Tetapi, kalau boleh ukir jalan yang bersih, kenapa nak yang buruk?” jelasnya.
Tambah Adriana, dia juga sentiasa ingat dengan pesan ibunya, bekas pengacara terkemuka tanah air, Datin Zamzarina Zambri, supaya menjaga nama baik keluarga meskipun memilih dunia seni sebagai kerjaya hidup.
“Sebelum masuk dunia seni, saya selalu ikut dan teman ibu pergi ke set dan dari situ, saya tengok sendiri bagaimana dia membawa diri dalam industri. Ibu memang berpesan supaya saya jaga diri dan saya pun kenalah yakinkan dia supaya tidak risau.
“Dia tahu bagaimana industri ini bergerak. Pesanan yang sama turut dilayangkan oleh bapa tiri saya yang merupakan orang kuat dalam industri. Pendek kata, mereka tahu apa ‘permainan’ dunia seni dan kalau boleh tak nak saya terlibat dengan cerita tidak baik,”katanya.
Secara tidak langsung, Adriana mengakui berasa sangat beruntung dan bersyukur kerana dikurniakan orang tua yang amat memahami dan tahu selok belok dunia hiburan sekali gus dapat memberi bimbingan.
“Saya anggap diri bertuahlah kerana ada mereka dalam hidup ini. Ibu dan bapa tiri saya banyak beri nasihat bagaimana nak corakkan jalan kerjaya seni supaya saya tak tersilap langkah. Kalau saya tersilap langkah pun, saya tahu nak rujuk siapa,”katanya.
LAGI LAMA LAGI MAHAL
MELAYANGKAN pertanyaan sama ada dia sebenarnya cuma sekadar bidan terjun sahaja sebagai pelakon, bintang drama Seribu Nina dan lem Merewang Keluarga Pak Awang ini bagaimanapun sempat tertawa kecil.
Katanya, kebetulan, sewaktu bertugas sebagai pengacara program HLive di Astro, dia telah mengikuti satu sesi uji bakat terbuka yang dijalankan pengarah terkenal, Michael Ang, bersama teman hos lain.
Mengakui langsung tiada pengalaman berlakon, percubaan Adriana bagaimanapun mendapat perhatian dan pujian Michael sehingga diberi peluang untuk terbabit dalam drama Suri Hati Mr. Pilot sekitar tahun 2016.
“Tiada siapa yang paksa pun saya jadi pelakon. Asalnya, memang sekadar cuba-cuba, tetapi agaknya memang sudah ditakdirkan Tuhan. Akhirnya saya sering diberi kepercayaan oleh ramai penerbit dan pengarah lain.
“Cinta saya terhadap bidang pengacaraan tetap ada, cuma bidang lakonan ini telah menyuntik satu cinta lain yang sifatnya lebih mendalam. Meskipun ada yang kata saya macam lambat masuk industri, saya rasa tidak.
“Tak ada istilah terlambat sebab cuba tengok, Tan Sri Michelle Yeoh, umur dia sekarang barulah dia menang Anugerah Oscar, jadi saya percaya semuanya mengambil masa. Saya pun tak nak bandingkan diri dengan orang lain sebab setiap orang ada laluan masing-masing,”katanya.
Mengakui lebih selesa berjalan tanpa paksaan, Adriana melihat cintanya terhadap dunia lakonan begitu berbeza dan ia memberi peluang buatnya untuk terus meneroka tanpa batasan.
“Saya percaya untuk menjadi seorang pelakon, kita kena tahu dan banyak belajar bagaimana nak menyerap segala emosi. Perkara itu tidak mudah sebab bukan sehari dua punya kerja. Tiga puluh tahun pun belum tentu dapat menyerap semua emosi.
“Justeru, saya yakin, kalau mahu jadi pelakon berkualiti, ia memerlukan seluruh hidup untuk menyerap semua emosi dan mempelajari watak-watak.Sebab itulah, saya tengok, lagi lama seseorang itu bergelar pelakon, dia dilihat lebih mahal dari segi kekuatan dan pengalamannya.
“Contohnya, macam Wan Hana Su, dia bagi saya ‘mahal’. Sebagai pelakon seharusnya kita tiada limitasi. Pekerjaan lain mungkin ada limitasi terutama dari segi usia, tetapi berlakon tidak. Jadi, lambat atau cepat, yang penting adalah kualiti dalam setiap pelakon itu,”katanya.
BERANIKAH ADRIANA
BANYAK terlibat dengan projek lakonan untuk platform over-thetop (OTT) selain di kaca televisyen, Adriana sedar, sekali pun banyak naskhah di platform tersebut dilihat lebih terbuka dan berani memaparkan jalan cerita atau babak panas, sebagai orang Melayu beragama Islam, dia mengakui masih menjaga batas.
Tidak mahu terikut-ikut dengan kata ‘mahu cepat popular’, Adriana berkata, babak panas meskipun dianggap paling mudah untuk memancing penonton, bagaimanapun bukanlah pilihannya.
“Saya tahu, mungkin ada segelintir artis atau pelakon yang okey untuk melakukannya, tetapi tidak saya. Setakat peluk atau pegang tangan, tak apa, namun tidak lebih daripada itu. Aksi ranjang, lagilah tidak.
“Macam saya cakap, saya masih ada keluarga, ada suami, saya kena jaga maruah dan nama baik. Walaupun saya ini bukanlah seorang wanita yang menutup aurat sempurna, tetapi bab batas ini saya kena jaga.
“Tak mungkinlah saya nak lukakan hati suami dengan buat aksi begitu. Dia sudah beri restu dan sangat menyokong kerjaya seni ini pun sudah satu rahmat buat saya.Saya sebenarnya, sangat bersyukur dikurniakan suami dalam hidup sebab dia umpama penyokong nombor satu saya.
“Jadi bila dah dapat restu dari suami dan keluarga, jalan hidup kita secara tidak langsung dipermudahkan-Nya,”katanya.
Akui Adriana, sewaktu mengikuti kelas lakonan selama dua bulan di Projek Selasa Acting School (Prosa) di Jakarta, Indonesia, tahun lalu,dia juga ada menerima tawaran lakonan dengan antaranya terdapat babak aksi ciuman.
“Produksi di sana ada bertanyakan sama ada saya boleh membawakan watak sebegitu, namun saya katakan tidak boleh. Jika ada trik kamera atau body double tak apa. Kalau tiada, memang saya tak buat aksi begitu.
“Masa saya belajar di kelas pun, jurulatih ada maklumkan akan ada produksi yang akan bertanya sejauh mana kita berani membawakan sesuatu watak. Tetapi, di akhirnya ia adalah pilihan kita sendiri.
“Kalau awak ambil, awak kena pikul tanggungjawab itu. Tetapi untuk saya, tidak. Ini adalah pilihan saya sendiri demi menjaga maruah diri dan keluarga,”katanya.
Bagaimanapun, kongsi Adriana, kebiasaannya, jika terlibat dalam sesebuah naskhah drama atau filem, produksi platform OTT lazimnya akan saling terbuka memberi dan meminta pandangan barisan pelakon sebelum menjayakan naskah tersebut.
“Setakat ini tak pernah lagi saya tidak ditanya terlebih dahulu. Pendek kata, produksi akan sentiasa ajak berbincang. Kalau saya kata tak selesa, atau tak boleh buat sesuatu babak panas itu, mereka akan faham.
“Berbalik kepada apa yang saya katakan tadi, semuanya bergantung pada pilihan kita sendiri. Kalau berani buat, berani jualah tanggung,”katanya.